Pertikaian sumber air cetus pertempuran etnik di Chad, 25 maut

Gambar hiasan

N’DJAMENA, 1 November- Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala 22 lagi cedera dalam pertempuran antara dua komuniti etnik yang tercetus akibat pertikaian akses sumber air di tengah Chad, menurut kerajaan negara itu pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertikaian akses air mencetuskan pertempuran antara dua komuniti etnik di Chad.
  • Keganasan bermula selepas perselisihan antara penggembala Kreda dan anggota komuniti Kuka di sebuah kolam.
  • Kementerian sahkan kejadian berlaku di sempadan wilayah Hadjer-Lamis dan Bahr El-Ghazal; 39 ditahan dan dibawa ke N'Djamena.
  • PBB lapor kurang daripada 10% isi rumah Chad mempunyai akses boleh diharap kepada bekalan air paip pada 2024.

Chad, yang dikenal pasti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara negara Afrika paling terdedah kepada perubahan iklim kerap berdepan pertempuran antara komuniti yang berpunca daripada perebutan sumber air, tanah dan ternakan.

Seorang ahli politik tempatan memberitahu AFP, keganasan tercetus pada Jumaat susulan pertengkaran antara seorang penggembala daripada komuniti Kreda yang membawa ternakannya untuk minum di sebuah kolam dengan seorang anggota komuniti Kuka.

“Susulan pertikaian itu, lelaki Kreda berkenaan mengeluarkan senjata dan menembak kaki lelaki Kuka tersebut. Kejadian itu mencetuskan pertempuran bersenjata antara kedua-dua komuniti, dengan 22 individu yang cedera dibawa ke hospital di Ngoura,” katanya.

Kementerian Pentadbiran Wilayah Chad dalam kenyataan pada Ahad mengesahkan keganasan itu berlaku di kawasan sempadan antara wilayah Hadjer-Lamis dan Bahr El-Ghazal.

Seramai 39 individu turut ditahan dan dibawa ke ibu negara, N’Djamena, menurut kementerian itu.

Akses kepada bekalan air masih tidak seimbang di negara Afrika tengah, manakala pertikaian mengenai sumber yang semakin terhad sering mencetuskan keganasan.

Menurut PBB, kurang daripada 10 peratus isi rumah di Chad mempunyai akses yang boleh diharapkan kepada bekalan air bersih berpaip pada 2024.

Pada April lalu, pertikaian berkaitan sebuah telaga air di timur Chad mengorbankan 44 orang dan mencederakan 10 yang lain. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.