
MANILA, 22 Julai – Pertembungan membabitkan anggota pengawal pantai China dan Filipina di Laut China Selatan membayangi Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Selasa, ketika Amerika Syarikat (AS) mengecam tindakan Beijing yang disifatkan sebagai “berbahaya” di perairan yang menjadi pertikaian itu.
- Setiausaha Negara AS Marco Rubio dijangka mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi di Manila.
- Rubio menegaskan komitmen AS mempertahankan kebebasan pelayaran dan keselamatan sekutu Asia Tenggara.
- Beijing tuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan walaupun Mahkamah The Hague 2016 menolak tuntutan itu.
- Sidang ASEAN dijangka tumpu memperkukuh keselamatan tenaga, keselamatan maritim dan kestabilan geopolitik serantau.
Insiden itu berlaku ketika Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, tiba di Manila bagi menghadiri mesyuarat negara anggota ASEAN, yang turut dijangka membincangkan konflik di Myanmar, keselamatan serantau serta isu tenaga.
Seorang pegawai Jabatan Negara AS berkata, Rubio dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi, pada Rabu di luar acara sidang kemuncak itu.
Pertemuan tersebut berlangsung ketika hubungan Washington dan Beijing terus tegang susulan pertikaian di Laut China Selatan serta dakwaan Presiden AS, Donald Trump, bahawa China campur tangan dalam data pilihan raya negara itu.
Dalam rencana yang diterbitkan di Filipina pada Selasa, Rubio menegaskan komitmen AS untuk mempertahankan kebebasan pelayaran di Asia Tenggara dan menjamin keselamatan sekutu serantaunya.
“Kebebasan ini tidak terjamin selama-lamanya. Jika laluan perairan ini dikuasai kuasa yang sanggup menggunakan perdagangan sebagai senjata geopolitik, AS dan negara anggota ASEAN akan berdepan ancaman serius terhadap kedaulatan, keselamatan dan masa depan ekonomi mereka,” katanya, merujuk kepada China.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya walaupun Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague pada 2016 memutuskan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.
Pada Isnin, anggota pengawal pantai China dan Filipina bertembung di Beting Ayungin, yang turut dikenali sebagai Second Thomas Shoal, dalam insiden maritim paling serius sejak beberapa bulan lalu.
Filipina mendakwa anggota Pengawal Pantai China menyerang kelasi negara itu berhampiran kapal perang usang yang dijadikan pos tentera di beting berkenaan.
Bagaimanapun, China menuduh Filipina mencetuskan insiden itu dengan menghantar anggota menggunakan bot getah untuk menghampiri kapalnya.
Pertembungan itu menimbulkan keraguan terhadap usaha ASEAN dan China memuktamadkan Kod Tatakelakuan Laut China Selatan yang telah lama dirunding.
Namun, Duta Besar China ke Filipina berkata perjanjian itu masih berpotensi dimeterai sebelum penghujung tahun ini.
Dalam perkembangan lain, konflik yang kembali memuncak di Selat Hormuz susulan perang antara AS dan Iran turut menjadi perhatian pemimpin serantau kerana berisiko menjejaskan bekalan tenaga serta perdagangan global.
Filipina yang bergantung kepada import tenaga mengisytiharkan darurat tenaga pada Mac lalu dan memperluaskan sumber import bahan api, termasuk membeli minyak dari Rusia.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov, dijadual tiba di Manila pada Selasa bagi menghadiri siri mesyuarat ASEAN.
Sidang minggu ini dijangka memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keselamatan tenaga serantau, selain membincangkan isu keselamatan maritim dan kestabilan geopolitik di Asia Tenggara. – AFP