
SANTIAGO, 22 Julai – Presiden Chile, José Antonio Kast, mengisytiharkan darurat bencana di beberapa wilayah yang dilanda banjir dan ribut selepas bencana itu meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa, menyebabkan empat lagi hilang serta mengakibatkan lebih 100,000 penduduk terputus hubungan.
- Perisytiharan darurat membolehkan tentera digerakkan, mempercepat bantuan kemanusiaan dan menguatkuasakan sekatan pergerakan jika perlu.
- Wilayah Coquimbo dan Atacama paling terjejas, kawasan padang pasir jarang menerima hujan lebat.
- Anggota tentera guna traktor dan helikopter menyelamatkan mangsa terperangkap, termasuk mengangkat dari bumbung rumah.
- Saintis kaitkan peningkatan cuaca ekstrem dengan perubahan iklim yang memacu hujan lebat, banjir dan ribut lebih kerap.
Perisytiharan itu membolehkan tentera digerakkan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat, mempercepat penyaluran bantuan kemanusiaan serta menguatkuasakan sekatan pergerakan di kawasan terjejas jika diperlukan.
Bencana yang bermula pada 15 Julai di selatan negara itu kini memberi kesan paling buruk kepada wilayah Coquimbo dan Atacama di utara Chile, kawasan padang pasir yang jarang mengalami hujan lebat.
Pengarah Perkhidmatan Pencegahan dan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (Senapred), Alicia Cebrián, berkata selain 10 kematian, seramai 17 orang cedera, manakala kira-kira 2,200 rumah musnah atau mengalami kerosakan struktur dan 2,400 penduduk terjejas.
“Sehingga kini, kami merekodkan 10 kematian, empat lagi masih hilang dan 17 orang cedera,” katanya kepada media.
Beliau berkata, lebih 100,000 penduduk masih terputus hubungan selepas banyak jalan dinaiki air dan ditimbuni lumpur berikutan sungai melimpah.
Di kawasan luar bandar Coquimbo, anggota tentera menggunakan traktor untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir, selain mengeluarkan mangsa menggunakan helikopter dari bumbung rumah mereka.
Gabenor Coquimbo, Cristóbal Juliá berkata, banyak kawasan kejiranan ditenggelami lumpur dan air sehingga menyebabkan ramai penduduk kehilangan kediaman serta harta benda.
“Kawasan kejiranan dipenuhi lumpur dan air. Ramai kehilangan rumah dan barangan mereka, manakala penduduk hidup dalam kebimbangan,” katanya.
Menurut beliau, hujan lebat pernah melanda wilayah itu pada 1997, namun bencana kali ini jauh lebih buruk daripada yang pernah dialami sebelum ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Máximo Pavez pula berkata, jumlah hujan yang lazimnya direkodkan sepanjang sebulan turun hanya dalam tempoh sejam pada Ahad.
“Fenomena ini boleh disifatkan sebagai hujan yang luar biasa dan ekstrem,” katanya.
Menurut Direktorat Meteorologi Chile, negara itu tidak pernah mengalami ribut yang begitu meluas dengan taburan hujan sehebat ini dalam tempoh lebih dua dekad.
Sementara itu, Kementerian Tenaga memaklumkan kira-kira 150,000 pengguna di seluruh negara masih terputus bekalan elektrik akibat kerosakan infrastruktur.
Pengurus Wilayah syarikat utiliti Aguas del Valle, Andrés Nazer memaklumkan, kemudahan syarikat mengalami kerosakan teruk sehingga kakitangannya terpaksa dipindahkan dari beberapa lokasi operasi.
Selain banjir, ombak besar dan angin kencang melebihi 100 kilometer sejam turut memaksa puluhan pelabuhan di seluruh Chile mengehadkan operasi sebagai langkah berjaga-jaga sejak minggu lalu.
Chile sebelum ini pernah dilanda beberapa bencana cuaca ekstrem, namun pihak berkuasa menyifatkan kejadian kali ini sebagai antara yang paling buruk dalam tempoh lebih 20 tahun.
Saintis turut mengaitkan peningkatan kejadian cuaca ekstrem dengan perubahan iklim yang menyebabkan hujan lebat, banjir dan ribut berlaku dengan lebih kerap serta berintensiti tinggi. – AFP