Penunjuk perasaan Iran bakar bendera AS di luar Kedutaan UK

Penunjuk perasaan Iran berhimpun di luar Kedutaan United Kingdom dan membakar bendera Amerika Syarikat/ REUTERS

TEHRAN, 15 Januari – Penunjuk perasaan Iran berhimpun di luar Kedutaan United Kingdom (UK) di sini pada Rabu (14 Januari) dan membakar bendera Amerika Syarikat (AS) , susulan beberapa minggu protes berdarah yang melanda negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunjuk perasaan berhimpun di luar Kedutaan UK dan membakar bendera AS sebagai protes terhadap campur tangan asing.
  • Protes bermula sebagai bantahan ekonomi lalu berkembang menjadi rusuhan berskala besar.
  • Tehran memberi amaran akan menyerang pangkalan AS jika Washington melancarkan serangan.
  • Peserta protes menegaskan sokongan kepada kepimpinan Iran dan menolak sebarang campur tangan asing.

Protes berkenaan bermula dua minggu lalu sebagai bantahan terhadap keadaan ekonomi yang semakin meruncing sebelum berkembang menjadi rusuhan berskala besar.

Seorang pegawai kanan Iran berkata, Tehran telah memberi amaran kepada negara-negara jiran bahawa pihaknya akan menyerang pangkalan Amerika Syarikat sekiranya Washington melancarkan serangan.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk campur tangan bagi menyokong penunjuk perasaan antikerajaan. Pihak berkuasa Iran mendakwa Amerika Syarikat dan Israel mencetuskan kekacauan tersebut.

Seorang wanita yang enggan dikenali berkata, kehadiran mereka adalah bagi menyatakan sokongan kepada rakyat dan kepimpinan Iran serta memberi amaran kepada mana-mana pihak asing agar tidak mencampuri urusan negara itu.

“Kami menyokong negara Iran dan kepimpinannya. Kami akan bertindak balas terhadap sesiapa sahaja yang campur tangan dalam urusan negara kami, sama ada Amerika Syarikat, Donald Trump, Israel atau Britain. Kami tidak akan membenarkan sebarang campur tangan,” katanya.

Seorang lagi wanita yang enggan dikenali berkata, Britain sejak awal revolusi telah mencetuskan kekacauan dengan strategi memecah-belahkan rakyat Iran.

“Mereka berusaha memecah-belahkan serta menggugat perpaduan rakyat Iran,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki yang turut menyertai protes menegaskan rakyat Iran tidak akan ditewaskan melalui sebarang bentuk tekanan.

“Kami ingin menyatakan kepada musuh negara dan tanah air ini bahawa rakyat Iran tidak akan dikalahkan, sama ada melalui hasutan, peperangan ketenteraan, peperangan ekonomi, sekatan atau kekacauan dalaman,” katanya.- REUTERS