Pengundi kubu kuat Trump mahu perang AS-Iran ditamatkan

Presiden AS Donald Trump bersama Setiausaha Pendidikan Linda McMahon dan Gabenor Nebraska Jim Pillen di White House/Foto REUTERS

GRAND ISLAND, Amerika Syarikat, 10 September – Pengundi di Nebraska, antara negeri yang menjadi kubu kuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semakin berharap perang dengan Iran ditamatkan ketika pilihan raya pertengahan penggal semakin hampir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan harga bahan api dan barangan keperluan akibat konflik memberi tekanan kewangan kepada pengundi, terasa ketika mengisi minyak.
  • Kajian Universiti Massachusetts Amherst: lapan daripada 10 rakyat percaya perang dengan Iran menaikkan harga; 55% anggap konflik itu satu kesilapan.
  • Konflik turut menjejaskan prospek Parti Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal; pengundi konservatif menunjukkan pandangan bercampur.

Walaupun sebahagian besar pengundi di negeri itu menyokong Trump pada pilihan raya Presiden 2024, peningkatan harga bahan api dan barangan keperluan susulan konflik di Timur Tengah mula mencetuskan kebimbangan.

Kristin Benson, 39, yang mengundi Trump pada 2024, berkata beliau berharap konflik yang tercetus sejak akhir Februari itu tidak berlarutan sehingga bertahun-tahun.

“Saya sememangnya tidak mahu perang ini berlarutan bertahun-tahun. Jika kita boleh keluar daripada konflik ini dalam tempoh setahun akan datang, itu lebih baik,” katanya kepada AFP ketika menghadiri Pesta Negeri Nebraska bersama keluarganya.

Menurut kajian Universiti Massachusetts Amherst, lapan daripada 10 rakyat AS percaya perang dengan Iran menyebabkan harga petrol dan barangan keperluan meningkat.

Sebanyak 55 peratus responden pula menyifatkan perang berkenaan sebagai satu kesilapan.

Menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November, Parti Republikan berdepan cabaran untuk mengekalkan kawalan ke atas Kongres, termasuk di Nebraska yang secara tradisinya menyokong parti berkenaan.

Bagi penternak lembu berusia 20 tahun, Keir Albert, yang turut mengundi Trump pada 2024, beliau mahu konflik itu berakhir namun masih menyokong pendekatan Presiden berkenaan dalam soal keselamatan negara.

“Saya sudah bersedia untuk perang ini berakhir. Sudah tentu, tidak semua orang gembira apabila harga bahan api dan sebagainya meningkat begitu tinggi.

“Tetapi saya fikir apa yang beliau lakukan berkaitan keselamatan negara adalah penting,” katanya.

‘Pembaziran wang’

Nebraska mempunyai kira-kira dua juta penduduk dan menjadi antara negeri yang paling kuat menyokong Trump.

Pada pilihan raya 2024, Trump meraih hampir 60 peratus undi di negeri itu.

Namun, sentimen terhadap perang Iran semakin terjejas susulan tekanan terhadap kewangan rakyat.

Pat Osiecki, 65, pesara kontraktor, menyifatkan penglibatan AS dalam konflik itu sebagai satu pembaziran wang.

“Israel telah menyeret kita ke dalam perang ini dan adalah salah apabila beliau mengikut Israel secara membuta tuli.

“Ia menyebabkan kita semua menanggung kos. Mengapa kita perlu menjadi polis dunia?” katanya.

Osiecki berkata beliau tidak bersetuju Iran memiliki senjata nuklear, namun mempersoalkan mengapa AS perlu menjadi pihak yang menentukan perkara berkenaan.

‘Kesan terasa ketika mengisi minyak’

Sementara itu, Sheryl Bach, 77, pesara kerani pentadbiran, berkata beliau tidak mengundi dalam pilihan raya Presiden 2024 kerana tidak berpuas hati dengan kedua-dua calon.

Mengenai penggal kedua Trump, Bach memberikan penilaian negatif dan berkata perang dengan Iran tidak sepatutnya dimulakan.

“Saya tidak fikir kita akan mendapat banyak manfaat daripadanya,” katanya.

Beliau turut mengakui tidak pasti sama ada konflik itu masih boleh diselesaikan pada ketika ini.

Sebahagian pengundi lain pula memilih untuk tidak mengambil pendirian jelas mengenai perang berkenaan.

Crystal Smith, 46, seorang pengusaha taksidermi, berkata beliau tidak mempunyai pandangan yang kuat mengenai konflik itu dan menyerahkan isu berkenaan kepada pihak yang lebih mengetahui.

Bagaimanapun, beliau mengakui peningkatan harga barangan pengguna memberi kesan kepada rakyat.

“Harga di stesen minyak memang terasa,” katanya.

Smith turut berharap perang itu dapat ditamatkan, namun percaya terdapat sebab tertentu di sebalik keputusan AS untuk terus terlibat dalam konflik berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.