Pendaki Malaysia cedera di Gunung Rinjani dibawa ke hospital di Bali

Foto fail

JAKARTA, 26 Mei – Seorang wanita warga Malaysia yang mengalami kecederaan parah selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat berjaya dipindahkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Bali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Basarnas memaklumkan operasi menyelamat disambung pagi Selasa selepas cuaca buruk menangguhkan usaha semalaman.
  • Mangsa tidak dapat bergerak; pada mulanya dipindahkan oleh porter dan pemandu pelancong ke Pelawangan 2 Sembalun.
  • Helikopter dioperasikan PT SGi Air Bali dihantar dari Bali untuk mempercepat proses pemindahan.
  • Helikopter berlepas dari Pelawangan 2 pada 8.17 pagi, mendarat di Helipad Benoa 9.05 pagi; mangsa dirujuk ke Hospital Inmedika Sanur.

Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) dalam satu kenyataan memaklumkan pendaki itu diselamatkan pada pagi Selasa selepas cuaca buruk menangguhkan operasi menyelamat semalaman.

Menurut agensi itu, wanita tersebut mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkannya tidak dapat bergerak dan pada mulanya dipindahkan oleh porter dan pemandu pelancong ke Pelawangan 2 Sembalun sebelum anggota penyelamat tiba di tempat kejadian.

“Bertindak balas atas laporan yang diterima pada Isnin, anggota penyelamat dari pos penyelamat Kayangan dan Pejabat SAR Mataram segera dikerahkan ke lokasi. Bagi mempercepat proses pemindahan, sebuah helikopter yang dikendalikan oleh PT SGi Air Bali telah dihantar terus dari Bali,” menurut agensi itu.

Ketua Pejabat SAR Mataram Muhamad Hariyadi yang berkhidmat sebagai Penyelaras Misi SAR berkata pemindahan udara terpaksa ditangguhkan lebih awal, berikutan keadaan kabus tebal dan jarak penglihatan rendah di kawasan pergunungan, dan hanya disambung semula selepas jarak penglihatan diisytiharkan selamat.

“Selepas persiapan pemindahan selesai, mangsa segera dipindahkan ke dalam helikopter yang berlepas dari Pelawangan 2 menuju ke Bali pada 8.17 pagi waktu tempatan.

“Helikopter itu mendarat di helipad Benoa di Bali pada 9.05 pagi waktu tempatan, sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Inmedika Sanur di Bali untuk rawatan lanjut,” katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.