PBB gesa Israel bebaskan doktor Gaza segera

Salah sebuah hospital yang diserang rejim Zionis Israel/ REUTERS

GAZA, 8 Julai – Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa rejim Zionis Israel membebaskan segera doktor dari Gaza, Hussam Abu Safiya, selepas menyifatkan penahanannya sebagai tindakan sewenang-wenangnya yang melanggar undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Arbitrari mendapati penahanan Hussam melanggar UDHR dan ICCPR, menimbulkan kebimbangan amalan penahanan sewenang-wenangnya.
  • Hussam ditahan sejak Disember 2024; didakwa mengalami pengasingan berulang, soal siasat panjang, dipukul dengan belantan dan diserang menggunakan alat renjatan elektrik, keadaannya kritikal.
  • Kesnya simbol dakwaan tindakan sistematik menyasarkan petugas kesihatan Palestin; antara sekurang-kurangnya 14 doktor Gaza ditahan melebihi setahun.

Rayuan itu turut disuarakan adik-beradik Hussam yang menyatakan kebimbangan terhadap keselamatanya ketika berada dalam tahanan.

Kumpulan Kerja PBB PBB Mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD) dalam penemuannya pada Isnin memaklumkan, tindakan Israel bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Menurut badan itu, kes berkenaan juga menimbulkan kebimbangan lebih meluas kerana ia berkemungkinan mencerminkan amalan penahanan secara sewenang-wenangnya yang berlaku secara meluas.

Menurut adik Hussam, Muwaffaq Abu Safiya, abangnya ditahan ketika menjalankan tugas kemanusiaan di hospital dan beberapa kali enggan meninggalkan fasiliti kesihatan itu demi menjaga kanak-kanak serta pesakit yang cedera.

“Dia ditahan di tempat kerjanya ketika menjalankan misi kemanusiaan. Dia beberapa kali enggan meninggalkan hospital kerana masih terdapat kanak-kanak dan mangsa yang cedera di dalamnya.

“Itulah merupakan satu kesalahan yang dilakukan rejim Zionis Israel kerana dia enggan mematuhi arahan mengosongkan hospital,” katanya.

Israel juga dilaporkan tidak memberikan respons kepada Kumpulan Kerja PBB ketika dihubungi berhubung kes tersebut pada Julai tahun lalu.

Kumpulan hak asasi MENA Rights Group yang memfailkan aduan berkenaan memaklumkan, pakar pediatrik berusia 52 tahun yang juga Pengarah Hospital Kamal Adwan itu ditahan sejak Disember 2024.

Menurut kumpulan itu, Hussam berdepan pengasingan bersendirian berulang kali, sesi soal siasat yang panjang serta dipukul menggunakan belantan dan alat renjatan elektrik.

Terdahulu, peguamnya, Nasser Odeh, menerusi sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak tahanan memaklumkan keadaan kesihatan Hussam semakin kritikal dan beliau didakwa menjadi mangsa penderaan setiap hari.

Rakaman video ketika prosiding di Mahkamah Agung Israel bulan lalu turut menunjukkan keadaan fizikalnya semakin susut.

Bagaimanapun, Perkhidmatan Penjara Israel sebelum ini menafikan dakwaan bahawa Hussam dan doktor lain menerima layanan buruk ketika dalam tahanan.

Bulan lalu, Mahkamah Agung Israel menolak rayuan untuk membebaskan Hussam berdasarkan bahan bukti sulit bawah undang-undang berkaitan individu yang diklasifikasikan sebagai “pejuang tidak sah”, yang membenarkan penahanan diperbaharui tanpa had tempoh.

Tentera Israel mendakwa Hussam merupakan anggota Hamas, namun tidak mengemukakan sebarang bukti. Namun dakwaan itu turut dinafikan Kementerian Kesihatan Gaza dan Hamas.

Hussam merupakan antara sekurang-kurangnya 14 doktor dari Gaza yang ditahan di Israel tanpa sebarang pertuduhan melebihi setahun.

Menurut penyelidik utama MENA Rights Group, Tanya Boulakovski, kes itu menjadi simbol kepada dakwaan tindakan sistematik Israel yang menyasarkan petugas kesihatan Palestin sehingga menyumbang kepada keruntuhan sistem penjagaan kesihatan di Gaza.

Pada 2023, Hussam antara doktor yang enggan meninggalkan puluhan bayi yang sedang menerima rawatan selepas tentera Israel mengarahkan mereka mengosongkan hospital.

Walaupun tafsiran undang-undang dilakukan Kumpulan Kerja PBB itu tidak mengikat dari segi perundangan, ia sering dijadikan rujukan sebagai bukti dalam prosiding di mahkamah antarabangsa. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.