
ACEH, 18 Februari – Lebih 300 keluarga penduduk Kampung Geudumbak, Aceh menerima manfaat menerusi penganjuran Program Free Market atau ‘Pasar Percuma’ bagi mendapatkan bekalan keperluan dapur untuk kegunaan keluarga masing-masing.
- Program "Pasar Percuma" menyediakan barangan dapur percuma kepada lebih 300 keluarga di Kampung Geudumbak.
- Inisiatif membantu mangsa banjir membuat persiapan sambut Ramadan, mengurangkan kesusahan keluarga terjejas.
- Econsave dan MyCARE bekerjasama menyumbang dana 10 juta Rupiah bagi pemulihan pascabencana.
Melalui konsep “free market”, pelbagai barangan keperluan dapur disediakan secara percuma kepada penduduk, antaranya sayur-sayuran segar, bawang, telur serta pelbagai jenis barangan asas lain.
Menurut Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam, sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan penduduk kampung juga turut turun padang membantu menjayakan program tersebut.
Penduduk terjejas banjir juga menzahirkan rasa gembira dan bersyukur atas bantuan yang diterima, terutamanya membantu mereka dalam membuat persiapan menjelang Ramadan.
Lebih menyentuh hati, terdapat penduduk yang memaklumkan mereka tidak mempunyai langsung barangan dapur untuk memasak sebelum menerima bantuan berkenaan.
Inisiatif tersebut merupakan usaha prihatin Econsave Cash and Carry bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) yang melibatkan peruntukan sebanyak 10 juta Rupiah dalam membantu komuniti yang masih dalam proses pemulihan pascabencana.