Oman komited pastikan laluan Selat Hormuz selamat

Foto AFP

ISTANBUL, 23 Jun – Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi pada Isnin menegaskan semula komitmen negaranya terhadap undang-undang antarabangsa dan pelayaran selamat tanpa caj di Selat Hormuz susulan rundingan dengan pegawai kanan Iran di Muscat, lapor Anadolu Ajansi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perbincangan fokus pada Memorandum Persefahaman Iran-AS, terutamanya peruntukan berkaitan Selat Hormuz.
  • Rundingan diadakan selepas ketibaan delegasi Iran untuk membincangkan pengurusan laluan perairan strategik.
  • Qatar dan Pakistan setuju tubuhkan unit penyelarasan bagi mengelakkan konflik, memantau pematuhan penghentian operasi ketenteraan di Lubnan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, Albusaidi berkata perbincangan dengan Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Qalibaf dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tertumpu kepada memorandum persefahaman Iran-Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini, khususnya peruntukan berkaitan Selat Hormuz.

Rundingan itu diadakan selepas ketibaan Qalibaf dan Araghchi di Oman bagi membincangkan pengurusan laluan perairan strategik berkenaan.

“Kami menegaskan komitmen terhadap undang-undang antarabangsa dan pelayaran selamat tanpa caj,” kata Albusaidi.

Kenyataan itu dibuat selepas Qatar dan Pakistan selaku pengantara mengeluarkan kenyataan bersama pada Ahad susulan berakhirnya rundingan AS-Iran di pusat peranginan Burgenstock, Switzerland.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua pihak bersetuju menubuhkan sebuah “unit penyelarasan bagi mengelakkan konflik” melibatkan AS, Iran dan Lubnan, dengan pengantaraan Qatar dan Pakistan bagi memastikan pematuhan terhadap penghentian operasi ketenteraan di Lubnan di bawah Memorandum Persefahaman Islamabad. -BERNAMA-ANADOLU

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.