Mahkamah batalkan hukuman, bekas presiden Peru dibebaskan

Foto AFP

LIMA, 1 Ogos – Bekas Presiden Peru, Ollanta Humala dibebaskan daripada penjara selepas Mahkamah Perlembagaan negara itu membatalkan hukuman penjara 15 tahun terhadapnya atas kesalahan pengubahan wang haram.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Perlembagaan memutuskan sumbangan kempen daripada Odebrecht tidak boleh dikategorikan sebagai pengubahan wang haram menurut undang-undang ketika kejadian.
  • Keputusan ini selaras dengan penentangan mahkamah tahun lalu terhadap perbicaraan Keiko Fujimori berkaitan pembiayaan kempen.
  • Humala menegaskan beliau tidak melakukan sebarang jenayah dan menolak dakwaan menerima sumbangan kempen daripada pihak asing.
  • Kes itu sebahagian daripada siasatan skandal rasuah Odebrecht yang mengheret ramai tokoh politik di Amerika Latin.

Humala dibebaskan pada Jumaat selepas mahkamah memutuskan sumbangan kempen politik yang diterimanya daripada syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht, kini dikenali sebagai Novonor, tidak memenuhi unsur kesalahan pengubahan wang haram ketika kejadian itu berlaku.

Bekas pemimpin berusia 64 tahun itu sebelum ini menjalani hukuman di sebuah pusat tahanan khas yang menempatkan beberapa bekas presiden Peru yang terpalit dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Ketika meninggalkan penjara, Humala menegaskan beliau tidak pernah melakukan sebarang kesalahan dan menolak dakwaan menerima sumbangan kempen daripada pihak asing termasuk Venezuela dan Brazil.

“Golongan yang memanipulasi sistem keadilan pada ketika itu hanya mengesahkan sesuatu yang tidak sah. Kami tidak pernah melakukan sebarang jenayah,” katanya kepada media.

Mahkamah Perlembagaan Peru pada Khamis memaklumkan keputusan membatalkan hukuman itu dibuat kerana sumbangan kempen yang diterima tidak boleh dikategorikan sebagai jenayah pengubahan wang haram berdasarkan undang-undang ketika kejadian berlaku.

Keputusan sama turut digunakan mahkamah tahun lalu ketika membatalkan perbicaraan terhadap Presiden Peru ketika itu, Keiko Fujimori, dalam kes berkaitan pembiayaan kempen.

Humala sebelum ini didapati bersalah selepas perbicaraan selama tiga tahun susulan siasatan yang bermula pada 2016, berhubung dakwaan menerima dana kempen secara tidak sah daripada Odebrecht ketika kempen pilihan raya presiden 2011.

Kes itu merupakan sebahagian daripada siasatan skandal rasuah Odebrecht di Amerika Latin yang turut mengheret ramai tokoh politik Peru.-Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.