Letupan di Narathiwat, tiada rakyat Malaysia terkorban – Wisma Putra

Gambar sihat

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Tiada kemalangan jiwa membabitkan rakyat Malaysia dilaporkan dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Wilayah Narathiwat, Thailand, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memantau situasi, berhubung pihak berkuasa tempatan dan menyalurkan bantuan konsular kepada pihak terjejas.
  • Wisma Putra menasihatkan warga Malaysia di selatan Thailand supaya berwaspada, utamakan keselamatan dan mendaftar serta mengemas kini maklumat melalui e-Konsular.
  • Terdahulu dua rakyat Malaysia cedera apabila Proton X50 mereka terkena letupan; kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Narathiwat.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, laporan awal mendapati sebuah kenderaan milik warganegara Malaysia turut terjejas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan.

“Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang memantau rapat situasi berkenaan.

“Konsulat Jeneral juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat lanjut yang sahih serta menyalurkan bantuan konsular sewajarnya kepada pihak terjejas,” menurut kenyataan itu hari ini.

Sehubungan itu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan ke wilayah selatan Thailand supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia turut digesa mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan komunikasi serta bantuan konsular sekiranya berlaku kecemasan.

Bagi mendapatkan bantuan segera, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menerusi talian telefon atau WhatsApp di +(6674) 316 274, +(6681) 990 1930, +(6674) 324 004 atau +(6674) 312 353, atau melalui emel [mwsongkhla@kln.gov.my](mailto:mwsongkhla@kln.gov.my).

Wisma Putra berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kejadian itu secara dekat dan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa selepas fakta rasmi disahkan.

Terdahulu, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom berhampiran pembetung di Ban Phaiwan, Mukim Phaiwan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Thailand susulan insiden berkenaan.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Narathiwat oleh pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan rawatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.