
KYIV, 8 September – Ketua Pendakwa Raya Ukraine, Ruslan Kravchenko meletak jawatan pada Isnin susulan dakwaan skandal rasuah.
- Pengumuman peletakan jawatan dibuat menerusi hantaran di Telegram, dengan beliau menegaskan tidak mahu institusi dijadikan alat konfrontasi politik.
- Beliau menafikan dakwaan sebelum ini, menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas di media sosial.
- NABU dan SAPO bongkar skim pengubahan wang haram diketuai pegawai pejabat pendakwa raya; serbuan berkaitan siasatan penipuan pusat panggilan dan jutaan dolar.
Peletakan jawatan itu diumumkan Kravchenko menerusi hantaran di Telegram.
“Keputusan dibuat kerana tidak mahu institusi digunakan sebagai ‘alat’ dalam konfrontasi politik dan pendirian saya mengenai tuduhan terbabit atau melindungi sindiket penipuan pusat panggilan, kekal tidak berubah,”katanya.
Sebelum ini pada Ahad, beliau menafikan dakwaan tersebut di media sosial sambil menyifatkannya sebagai tuduhan ‘tidak berasas’.
Terdahulu, Biro Antirasuah Kebangsaan Ukraine (NABU) dan Pejabat Pendakwa Khas Antirasuah (SAPO) memaklumkan telah membongkar satu skim pengubahan wang haram yang “diketuai seorang pegawai di pejabat pendakwa raya”.
Serbuan di pejabat Kravchenko merupakan sebahagian daripada siasatan terhadap kegiatan sindiket penipuan pusat panggilan termasuk pengubahan wang haram bernilai jutaan dolar.
Kegiatan sindiket penipuan pusat panggilan di Ukraine dilaporkan meningkat dengan ketara dengan Global Initiative Against Transnational Crime (GI-TOC) yang berpangkalan di Switzerland memaklumkan kira-kira 60,000 individu bekerja dalam sektor pusat panggilan haram di Ukraine.
Kes tersebut menambah tekanan terhadap kerajaan
Ukraine yang dalam usaha membanteras rasuah dan jenayah terancang ketika negara itu terus berdepan perang dengan Rusia.-AFP