Kebakaran hutan Chernobyl jejas kualiti udara Kiev

Foto REUTERS

KIEV, 30 Jun – Anggota bomba Ukraine kini giat memadam kebakaran hutan yang berlaku di zon larangan Chernobyl, utara ibu negara, Kiev, menurut rakaman video yang dikeluarkan Perkhidmatan Kecemasan Negara pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 200 petugas kecemasan dan kira-kira 60 aset dikerahkan untuk kawal kebakaran.
  • Pemantauan menunjukkan tahap radiasi kekal dalam julat normal setakat ini.
  • Asap merebak selatan, menjejaskan kualiti udara Kiev; karbon monoksida dan aerosol tinggi, kesan dikesan sehingga 170 kilometer.

Lebih 200 petugas kecemasan bersama kira-kira 60 aset dan peralatan khas telah digerakkan bagi mengawal kebakaran tersebut, kata pihak berkuasa.

Dalam masa sama, pegawai memaklumkan tahap radiasi di kawasan itu dipantau secara berterusan dan setakat ini masih berada dalam julat normal.

Menurut Institut Hidrometeorologi Ukraine, pemantauan satelit mendapati asap daripada kebakaran yang bermula sejak Khamis lalu telah merebak ke arah selatan sepanjang hujung minggu, sekali gus menjejaskan kualiti udara serta jarak penglihatan di Kiev dan kawasan sekitarnya.

Data satelit turut mengesan kepekatan karbon monoksida dan aerosol yang tinggi, dengan kepulan asap dilaporkan merebak sehingga 170 kilometer dari lokasi kebakaran.

Institut itu turut memberi amaran bahawa pencemaran udara berpotensi kembali melanda Kiev sekiranya angin dari arah utara bertiup.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.