Kapal diserang di Selat Hormuz, seorang maut, tiga cedera

Foto REUTERS

TEHRAN, 13 September – Sebuah kapal dilaporkan diserang di Selat Hormuz pada Ahad, mengorbankan seorang dan mencederakan tiga yang lain, menurut pihak berkuasa tempatan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi berhampiran pesisir Pulau Hengam dan Qeshm.
  • Beberapa letupan dilaporkan berlaku sepanjang malam di sekitar Qeshm.
  • Selat Hormuz jadi titik panas konflik Iran dan Amerika Syarikat; Tehran mewajibkan kebenaran transit dan mempertimbangkan bayaran perkhidmatan.

Gabenor bandar Qeshm, Amir Teymouri berkata, kapal dagang itu terkena serangan kira-kira pukul 5.00 pagi waktu tempatan berhampiran pesisir Pulau Hengam dan Qeshm.

“Seorang terbunuh dan tiga lagi cedera,” katanya seperti dilaporkan televisyen kerajaan Iran, tanpa menjelaskan pihak yang melancarkan serangan.

Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku sepanjang malam di sekitar Qeshm, pulau terbesar di Selat Hormuz.

Insiden maut itu berlaku sehari sebelum pertemuan Iran dengan negara-negara Teluk di Oman bagi membincangkan laluan perairan berkenaan yang menjadi laluan penting perdagangan minyak dan gas dunia.

Selat Hormuz kini menjadi titik panas utama dalam konflik Iran-Amerika Syarikat yang memasuki bulan keenam.

Iran menyekat laluan berkenaan sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel yang bermula pada 28 Februari.

Tehran kini mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran untuk melalui selat itu atas alasan keselamatan dan kedaulatan, selain mempertimbangkan mekanisme mengenakan bayaran perkhidmatan.

Kapal yang gagal mematuhi arahan berkenaan sering menjadi sasaran serangan Iran, manakala Amerika Syarikat pula secara berkala melancarkan serangan ke pantai Iran dalam usaha mencabar kawalan Tehran terhadap Selat Hormuz. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.