Kapal dagang diserang di Selat Hormuz, seorang terbunuh dan tiga cedera

Foto REUTERS

TEHRAN, 13 September -Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kapal dagang diserang di Selat Hormuz pada Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan Iran, ketika ketegangan antara Tehran dan Washington memuncak berhubung laluan perairan strategik itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal terkena serangan kira-kira 5 pagi di perairan berhampiran pulau Hengam dan Qeshm.
  • UKMTO lapor kapal terkena objek tidak dikenali, kebakaran berlaku, pihak berkuasa tempatan bantu pemindahan anak kapal.
  • Kawalan Selat Hormuz menjadi titik panas konflik; Iran wajibkan kebenaran laluan dan mempertimbangkan bayaran perkhidmatan.

Gabenor bandar Qeshm, Amir Teymouri, berkata kapal berkenaan terkena serangan kira-kira 5 pagi waktu tempatan (1.30 pagi GMT) di perairan berhampiran pulau Hengam dan Qeshm.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan itu.

Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku pada waktu malam di sekitar Qeshm, pulau terbesar di Selat Hormuz.

Pemantau UK Maritime Trade Operations (UKMTO) kemudian berkata pihaknya menerima laporan sebuah kapal terkena objek tidak dikenali ketika belayar melalui Selat Hormuz.

Menurut UKMTO, kebakaran tercetus di atas kapal susulan serangan yang dilaporkan, manakala pihak berkuasa tempatan berada di lokasi bagi membantu memindahkan anak kapal.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum pertemuan Iran dengan negara-negara Teluk di Oman, yang turut bersempadan dengan Selat Hormuz, bagi membincangkan laluan perairan penting kepada perdagangan minyak dan gas dunia itu.

Kawalan terhadap Selat Hormuz kini menjadi antara titik panas utama dalam konflik antara Iran dan Amerika Syarikat yang memasuki bulan keenam.

Iran menyekat laluan berkenaan sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan perang pada 28 Februari. Sebelum konflik itu, selat berkenaan merupakan laluan perkapalan yang bebas dan tidak terhalang.

Tehran kini mewajibkan kapal mendapatkan kebenaran untuk melalui selat berkenaan atas alasan keselamatan dan kedaulatan, selain mempertimbangkan mekanisme mengenakan bayaran perkhidmatan.

Kapal yang gagal mematuhi arahan itu kerap menjadi sasaran serangan Iran, manakala Amerika Syarikat pula secara berkala melancarkan serangan terhadap kawasan pantai Iran dalam usaha mencabar kawalan Tehran ke atas laluan strategik berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.