
WASHINGTON, 10 April – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis menuduh Iran gagal mematuhi syarat perjanjian gencatan senjata dua minggu selepas didakwa menghalang kelancaran aliran minyak melalui Selat Hormuz.
- Trump beri amaran keras kepada Iran supaya hentikan cadangan mengenakan tol ke atas kapal tangki melalui Selat Hormuz.
- Pergerakan kapal masih terhad walaupun gencatan senjata, hanya 10 kapal dilaporkan melalui selat sejak gencatan berkuat kuasa.
- Utusan AS, termasuk JD Vance, Steve Witkoff dan Jared Kushner, akan mengadakan rundingan dengan wakil Iran di Pakistan.
Trump menerusi satu hantaran di platform Truth Social memberi amaran keras kepada Tehran berhubung laporan pengenalan kadar tol bagi kapal yang melalui laluan air strategik berkenaan.
“Iran melakukan tugas yang sangat teruk, malah ada yang menyifatkannya sebagai tidak bermaruah, dalam membenarkan minyak melalui Selat Hormuz. Itu bukan perjanjian yang kita persetujui!” kata Trump.
Menurut data pengesanan maritim, hanya 10 buah kapal dilaporkan telah melalui selat sepanjang 167 kilometer itu sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Selasa meskipun kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju untuk membuka semula laluan tersebut sepenuhnya.
Ketegangan semakin memuncak selepas Iran mencadangkan pengenalan bayaran tol kepada kapal tangki, suatu langkah yang dibantah keras oleh Trump meskipun beliau sendiri pernah menyuarakan cadangan serupa sebelum ini.
“Terdapat laporan bahawa Iran mengenakan bayaran kepada kapal tangki yang melalui Selat Hormuz. Mereka lebih baik jangan melakukannya, dan jika ya, mereka mesti hentikan sekarang!” tegas Trump dalam satu hantaran berasingan.
Beliau turut menambah bahawa pengeluaran minyak akan kembali pulih dalam masa terdekat “dengan atau tanpa bantuan Iran.”
Nada agresif Trump itu memperlihatkan perubahan ketara berbanding kenyataan beliau kepada NBC News sebelum ini yang menyaksikan beliau “sangat optimis” mengenai perjanjian damai dengan Iran dan memaklumkan bahawa Israel sedang “mengurangkan” serangan di Lubnan.
Dalam temu bual telefon itu, Trump menyifatkan pemimpin Iran sebagai “jauh lebih munasabah” dalam perbincangan tertutup, namun memberi amaran bahawa keadaan akan menjadi “sangat menyakitkan” jika perjanjian gagal dicapai.
Sementara itu, Naib Presiden JD Vance dijadual mengadakan rundingan dengan wakil Iran di Pakistan pada Sabtu ini, diiringi utusan khas Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner.
Timbalan Setiausaha Akhbar Kanan White House, Anna Kelly dalam satu kenyataan kepada AFP berkata, presiden tetap optimis bahawa satu penyelesaian yang membawa kepada keamanan berkekalan di Asia Barat dapat dicapai.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump memaklumkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah bersetuju untuk meredakan serangan terhadap Lubnan selepas satu siri serangan udara besar-besaran yang mengorbankan ratusan nyawa pada Rabu, sekali gus menguji kerapuhan gencatan senjata yang baru bermula.
Israel dan Lubnan dijangka mengadakan rundingan lanjut di Washington pada minggu depan bagi membincangkan kestabilan rantau berkenaan. – AFP