Israel bunuh 10 penduduk Gaza termasuk kanak-kanak tiga tahun

Jenazah Yahya al-Malahi, 3, yang terkorban dalam serangan Israel di Gaza City pada 14 April lepas/AFP

GAZA CITY, 15 April- Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun antara 10 individu yang terkorban dalam beberapa serangan berasingan oleh Israel di utara Gaza, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebuah kenderaan polis disasarkan di Gaza City; empat terbunuh dan beberapa cedera.
  • Seorang lagi terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan Beit Lahia pada hari sama.
  • Serangan dron dengan dua peluru berpandu membunuh lima orang awam berhampiran gudang penjana elektrik, kata Hospital Al-Shifa.
  • Keganasan berterusan walaupun gencatan senjata sejak 10 Oktober; Kementerian Kesihatan Gaza lapor sekurang-kurangnya 757 terkorban.

Jurucakap agensi berkenaan, Mahmoud Bassal berkata empat individu terbunuh termasuk seorang kanak-kanak apabila sebuah kenderaan polis disasarkan dalam serangan di Gaza City.

“Empat individu terbunuh termasuk seorang kanak-kanak dan beberapa lagi cedera dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah kenderaan polis.

“Kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai Yahya al-Mallahi,” katanya.

Kesemua korban dibawa ke Hospital Al-Shifa.

Sementara itu, Bassal berkata seorang lagi individu terbunuh akibat tembakan Israel di kawasan Beit Lahia pada hari sama.

Pada sebelah malam, agensi pertahanan awam melaporkan beberapa lagi kematian dalam satu serangan berhampiran persimpangan di kem pelarian Al-Shati.

Hospital Al-Shifa mengesahkan menerima lima jenazah susulan serangan dron Israel menggunakan dua peluru berpandu ke atas sekumpulan orang awam di hadapan gudang penjana elektrik di kawasan berkenaan.

Keganasan berterusan meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober.

Sekurang-kurangnya 757 individu terkorban di Gaza sejak gencatan senjata dilaksanakan, menurut Kementerian Kesihatan Gaza. -AFP