Israel berdegil kekalkan tentera penceroboh di Lubnan, Syria dan Gaza

Tentera Lubnan melakukan rondaan di kampung Froun di selatan negara berkenaan. – Foto AFP


BAITULMAQDIS, 1 Julai Tentera penceroboh Israel akan kekal di ‘zon keselamatan’ yang diisytiharkannya sendiri di Lubnan, Syria dan Gaza tanpa sebarang tempoh masa untuk pengunduran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Katz berkata tindakan bertujuan melindungi penduduk dan komuniti Israel daripada elemen jihad.
  • Katz ulangi amaran kepada Iran bahawa republik itu akan diperangi dengan kekuatan penuh jika menyerang.
  • Israel dan Lubnan tandatangani perjanjian taja AS untuk membuka jalan perdamaian, melucutkan senjata Hizbullah yang disokong Iran.
  • Di Gaza, tentera Israel telah menjarah dan menguasai hampir 70 peratus wilayah tersebut.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi alasan kononnya tindakan itu bagi melindungi penduduk dan komuniti Israel daripada elemen jihad.

“Kami tidak akan berundur dari zon keselamatan,” katanya pada satu majlis yang diadakan bagi memperingati anggota tentera Zionis yang terkorban semasa perang Lubnan 2006.

Katz juga mengulangi amaran kepada Iran bahawa republik Islam berkenaan akan diperangi dengan kekuatan penuh sekiranya menyerang negara haram itu susulan operasi di Lubnan.

Israel dan Lubnan telah menandatangani rangka perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat pada Jumaat bagi membuka jalan ke arah perdamaian antara kedua-dua pihak serta melucutkan senjata kumpulan Hizbullah yang disokong Iran.

Namun, pegawai Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berulang kali menolak pengunduran tentera dari selatan Lubnan yang menyaksikan tentera Zionis terus bertempur dengan pejuang Hizbullah.

Menurut kementerian kesihatan Lubnan, hampir 4,300 orang terbunuh dalam serangan Israel sejak perang tercetus.

Israel juga telah melakukan beberapa serangan dan pencerobohan berulang di Syria sejak penggulingan Presiden Bashar al-Assad dengan alasan untuk mewujudkan zon bebas tentera di selatan negara itu.

Di Gaza pula, tentera Israel telah menjarah dan menguasai hampir 70 peratus wilayah tersebut. — AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.