
LONDON, 1 Julai – Kesatuan dan syarikat perkapalan akan terus mengklasifikasikan Selat Hormuz sebagai zon berisiko perang susulan serangan ke atas dua buah kapal meskipun Iran dan Amerika Syarikat telah bersetuju dengan gencatan senjata.
- Kenyataan bersama ITF dan JNG: ketetapan ambil kira risiko besar terhadap nyawa dan situasi yang berubah pantas di Selat Hormuz.
- Status dikekalkan sekurang-kurangnya hingga 9 Julai dan akan dinilai semula setiap minggu.
- Perkapalan terjejas: anak kapal terima bayaran dua kali ganda, kos meningkat; sekurang-kurangnya 14 maut, 11,000 anak kapal masih terkandas.
Kenyataan bersama Kesatuan Persekutuan Pekerja Pengangkutan Antarabangsa (ITF) dan Kumpulan Rundingan Bersama (JNG), sebuah organisasi yang mewakili pemilik kapal menyebut, ketetapan itu mengambil kira risiko ketara yang berterusan terhadap nyawa dan situasi di kawasan tersebut yang berubah dengan pantas.
“Sekiranya kapal-kapal terbabit tidak diserang dan pergerakan masuk dan keluar terus berjalan lancar, kemungkinan minggu ini akan menyaksikan perubahan status pengelasan tersebut.”
Status berkenaan akan kekal sekurang-kurangnya hingga 9 Julai dan akan dinilai semula setiap minggu.
Selat Hormuz pertama kali diklasifikasikan sebagai zon operasi perang pada 5 Mac lalu selepas kapal-kapal yang cuba merentasi laluan strategik itu diserang.
Ketetapan itu terpakai kepada kira-kira 15,000 kapal di seluruh dunia kepunyaan pemilik yang menandatangani perjanjian buruh bawah Forum Rundingan Antarabangsa (IBF).
Bawah ketetapan itu, pelaut yang dilindungi akan menerima bayaran dua kali ganda, sekali gus meningkatkan kos bagi syarikat perkapalan selain faedah lain.
Kapal dagang terjejas teruk akibat konflik di Asia Barat sejak 1 Mac selepas Iran menutup laluan penting itu sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel.
Sekurang-kurangnya 14 anak kapal terbunuh dalam serangan ke atas lebih 40 buah kapal sepanjang konflik tersebut.
Serangan terbaru berlaku pada Khamis dan Sabtu lepas, sekali gus mendorong Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) menggantung pelan jangka pendek untuk memindahkan kira-kira 11,000 anak kapal yang masih terkandas. – AFP