Iran tegaskan tiada perjanjian segera

Foto Reuters

TEHRAN, 25 Mei – Iran menegaskan bahawa tiada sebarang perjanjian dijangka dimeterai dalam masa terdekat dengan Amerika Syarikat, meskipun rundingan antara kedua-dua pihak dilaporkan telah mencapai kemajuan dalam beberapa aspek utama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran memberi tumpuan kepada usaha menamatkan konflik, bukan membincangkan isu nuklear secara langsung.
  • Perubahan pendirian Amerika Syarikat menyukarkan proses mencapai kata sepakat, menurut Tehran.
  • Draf memorandum persefahaman mengandungi 14 perkara utama termasuk usaha hentikan sekatan tentera laut di Selat Hormuz.
  • Washington beri ruang kepada diplomasi sebelum mempertimbangkan alternatif, manakala kedua pihak kekal berhati-hati.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata, beberapa perkara dalam perbincangan telah berjaya dirumuskan, namun ia sama sekali tidak bermaksud satu persetujuan rasmi atau penandatanganan perjanjian akan berlaku dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan, Iran ketika ini memberi tumpuan kepada usaha menamatkan konflik yang berlarutan, namun tidak membincangkan isu nuklear secara langsung seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Pada masa sama, Tehran menyifatkan perubahan pendirian pihak Amerika Syarikat sebagai antara faktor yang menyukarkan proses mencapai kata sepakat.

“Draf memorandum persefahaman yang sedang dirundingkan mengandungi 14 perkara utama, dengan penekanan kepada usaha menamatkan konflik serta menghentikan sekatan tentera laut Amerika Syarikat di Selat Hormuz.

“Sebagai pertukaran, Iran akan melaksanakan langkah-langkah bagi memastikan keselamatan serta kelancaran laluan perkapalan di perairan strategik tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Iran dan Amerika Syarikat masing-masing dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak menjangka sebarang kejayaan segera dalam usaha meredakan ketegangan yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio berkata di New Delhi bahawa Washington akan memberi ruang sepenuhnya kepada diplomasi untuk mencapai kejayaan, sebelum mempertimbangkan sebarang “alternatif lain” sekiranya rundingan gagal.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan menegaskan supaya pihaknya tidak tergesa-gesa dalam mencapai sebarang perjanjian dengan Iran, sekali gus mencerminkan pendekatan berhati-hati Washington dalam proses rundingan tersebut.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.