Haiwan ramal nasib pasukan pilihan Piala Dunia

Badak air pygmy di sebuah zoo di Thailand memilih Amerika Syarikat sebagai pemenang perlawanan menentang Australia awal pagi esok / foto REUTERS

BANGKOK, 19 Jun – Seekor badak air pygmy dan harimau mencuri perhatian pengunjung di sebuah zoo di Thailand apabila ‘meramalkan’ keputusan perlawanan Piala Dunia pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zoo di Thailand gunakan harimau dan badak air pygmy meramalkan keputusan perlawanan dengan memilih set makanan berlabel bendera pasukan.
  • Pengarah Zoo berkata program berkala setiap Piala Dunia sebagai tarikan dan pengalaman berbeza untuk pengunjung.
  • Di Rio, ikan jerung Ritinha meramalkan Brazil menewaskan Haiti dengan memilih salah satu daripada dua pilihan makanan.

Haiwan-haiwan berkenaan memilih antara beberapa set makanan yang diletakkan bersama bendera pasukan sebagai simbol ramalan keputusan perlawanan antara Amerika Syarikat dan Australia serta Scotland dan Maghribi.

Pengunjung yang hadir berkumpul di sekitar kandang haiwan berkenaan sambil merakam detik tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Pengarah Zoo, Thanachon Kensingh, berkata aktiviti ramalan tersebut merupakan program berkala yang dianjurkan pihak zoo setiap kali kejohanan Piala Dunia berlangsung.

“Program ini diadakan sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung serta memberi pengalaman berbeza ketika musim kejohanan,” katanya.

Semenatara itu di Jerman, seekor orang utan yang terkenal sebagai “peramal” haiwan meramalkan kemenangan buat pasukan Jerman dalam perlawanan menentang Ivory Coast.

Orang utan Sumatera bernama Walter itu yang telah mempunyai lebih 20 tahun pengalaman membuat ramalan bola sepak, memilih Jerman sebagai pemenang apabila diberi pilihan antara dua karung yang mewakili kedua-dua negara berkenaan di Zoo Dortmund.

“Pada pandangan saya, Walter jelas lebih memihak kepada Jerman hari ini,” kata jurucakap Zoo Dortmund, Marcel Stawinoga.

Orang utan Sumatera bernama Walter memilih Jerman sebagai pemenang apabila diberi pilihan antara dua karung yang mewakili Jerman dan Ivory Coast di Zoo Dortmund / foto REUTERS

Dalam pada itu, seekor ikan jerung bernama Ritinha di akuarium AquaRio, Rio de Janeiro, meramalkan Brazil akan menewaskan Haiti dalam satu acara ramalan di hadapan penonton pada Khamis.

Ramalan berkenaan dibuat dalam suasana santai apabila penyelam mempersembahkan dua pilihan makanan yang masing-masing mewakili Brazil dan Haiti sebelum Ritinha memilih salah satu daripadanya. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.