
MANILA, 13 April – Filipina akan mengurangkan cukai eksais ke atas Gas Petroleum Cecair (LPG) dan kerosin bagi membantu rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga bahan bahan api ekoran perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran.
- LPG dikurangkan sebanyak 3.36 peso setiap kilogram, berkuat kuasa Selasa.
- Harga kerosin diturunkan 5.60 peso setiap liter, membantu keluarga berpendapatan rendah.
- Presiden akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa krisis bagi membincangkan pelarasan cukai eksais petrol dan diesel.
Pengumuman mengenainya dibuat oleh Presiden Filipina, Ferdinand Marcos dalam sidang media di sini, hari ini.
“Kami berharap hasil yang baik daripada rundingan damai antara Amerika Syarikat dengan Iran, tetapi nampaknya mereka tidak dapat mencapai persetujuan, sebab itu kerajaan akan terus membantu rakyat.
“Filipina telah mengurangkan cukai ke atas produk petroleum yang digunakan secara langsung oleh rakyat dalam kehidupan harian mereka,” katanya.
Susulan kelulusan undang-undang oleh badan perundangan yang memberi kuasa kepada Presiden untuk menyesuaikan cukai eksais bahan api, Marcos berkata, harga LPG yang merupakan bahan api utama negara itu untuk memasak akan dikurangkan sebanyak 3.36 peso per kilogram bermula Selasa.
Harga kerosin, iaitu bahan api memasak yang digunakan oleh keluarga berpendapatan rendah pula akan diturunkan sebanyak 5.60 peso seliter.
Menurut Marcos, beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa krisis kerajaan pada Selasa bagi membincangkan kemungkinan melaksanakan pelarasan cukai eksais ke atas petrol dan diesel, iaitu bahan api utama untuk pengangkutan awam.
Filipina mendapatkan minyak mentahnya dari Asia Barat serta mengimport produk petroleum yang telah ditapis terutamanya dari kilang penapisan Asia yang turut bergantung kepada minyak mentah yang dihantar melalui Selat Hormuz.
Sejak permulaan perang, harga diesel di pam negara itu telah meningkat lebih dua kali ganda kepada kira-kira 145 peso (AS$2.41) seliter. -AFP