Feri dilanda cuaca buruk, seorang maut, 103 diselamatkan

Foto AFP

JAKARTA, 13 September – Seorang maut manakala 103 penumpang dan kru diselamatkan selepas sebuah feri yang dalam perjalanan dari Jawa ke Borneo dilanda cuaca buruk pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Feri Virgo Transport 8 terputus hubungan selepas bertolak dari Surabaya, membawa 243 penumpang dan kru.
  • Pasukan penyelamat berdepan ombak setinggi 2.5 meter di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari Banjarmasin.
  • Piawaian keselamatan lemah dan cuaca tidak menentu disifatkan sebagai faktor utama kemalangan laut di Indonesia.

Feri Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan kru terputus hubungan dengan syarikat perkapalannya selepas bertolak dari Surabaya, Jawa Timur.

Ketua operasi mencari dan menyelamat tempatan, I Putu Sudayana berkata, seramai 103 penumpang berjaya dipindahkan, manakala seorang penumpang disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, pasukan penyelamat berdepan ombak setinggi 2.5 meter ketika menuju ke lokasi kejadian di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari destinasi feri di Banjarmasin.

“Keadaan itu amat berbahaya kepada kapal. Malah, kapal penyelamat Basarnas kami sepanjang 40 meter juga berdepan risiko besar,” katanya.

Sudayana memberitahu, kapten feri melaporkan kapal berkenaan mula “senget” sebelum hubungan terputus dengan kedudukan terakhir feri dikesan di Laut Jawa.

Kemalangan laut kerap berlaku di Indonesia, negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan banyak bergantung pada pengangkutan bot untuk urusan harian serta pelancongan.

Piawaian keselamatan yang lemah dan keadaan cuaca tidak menentu antara faktor utama yang menyumbang kepada kemalangan berkenaan.

Bulan lalu, kebakaran sebuah feri di Selat Lombok mengorbankan seorang dan menyebabkan lima lagi hilang, manakala 211 penumpang berjaya diselamatkan.

Pada Julai, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang turut karam berhampiran Selayar, selatan Sulawesi. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.