El Nino dijangka capai tahap ‘intensiti tinggi’ hingga Februari depan – WMO

Gambar hiasan / Foto fail REUTERS

GENEVA, 3 September – Fenomena El Nino dijangka mencapai tahap “sangat kuat” dalam beberapa bulan akan datang dan hampir pasti berterusan sehingga Februari, menurut Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).

RINGKASAN BERITA AI
  • El Nino berpotensi memberi impak besar kepada masyarakat dan ekonomi, terutama sektor pertanian, kesihatan, tenaga dan bekalan air.
  • Setiausaha Agung PBB memberi amaran risiko cuaca ekstrem meningkat akibat pemanasan laut dan suhu global yang lebih tinggi.
  • WMO meramalkan suhu daratan lebih tinggi untuk Sept hingga Nov; El Nino sering cetus kemarau, gangguan monsun dan perubahan hujan tropika.

Ketuanya, Celeste Saulo berkata, El Nino dijangka memuncak menjelang akhir tahun ini, namun kesannya terhadap suhu dan corak cuaca boleh berlanjutan hingga 2027, termasuk peningkatan risiko banjir, kemarau dan cuaca panas melampau.

Beliau memberi amaran El Nino berpotensi memberi kesan besar kepada masyarakat dan ekonomi, khususnya sektor pertanian, kesihatan, tenaga dan air kerana kebarangkalian fenomena itu berterusan sehingga Februari adalah hampir 100 peratus.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, dunia kini berdepan peningkatan risiko cuaca ekstrem susulan pemanasan laut dan suhu global.

Antara kesan El Nino yang lazim ialah kemarau di Amazon, Indonesia dan Australia, gangguan monsun di India serta perubahan corak hujan di kawasan tropika.

Bagi tempoh September hingga November, WMO meramalkan suhu lebih tinggi daripada biasa di hampir semua kawasan daratan.

Indeks suhu permukaan laut Pasifik turut menunjukkan pengukuhan El Nino, dengan suhu antara Mei dan Julai 1.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa.

Bacaan mingguan pada akhir Julai hingga pertengahan Ogos pula mencecah 2.2 hingga 2.6 darjah Celsius lebih tinggi, manakala suhu air di bawah permukaan di sesetengah kawasan melebihi 8 darjah Celsius daripada paras normal.

El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlangsung sekitar sembilan hingga 12 bulan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.