Korea Selatan cadang bina kompleks Parlimen kedua di Sejong

Perdana Menteri Korea Selatan, Han Seong-sook (tengah) bersama Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Yun Ho-jung (kiri) dalam satu sidang media / Foto AFP

SEOUL, 3 September – Korea Selatan merancang membina pejabat presiden dan kompleks Parlimen kedua di bandar pentadbiran Sejong dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap Seoul, serta merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemindahan kementerian termasuk Kementerian Kesaksamaan Gender dan Perkhidmatan Pendakwaan dirancang ke Sejong.
  • Sejak 2012, 44 badan kerajaan pusat, termasuk kementerian kewangan dan kesihatan, telah berpindah ke Sejong.
  • Kerajaan merancang memuktamadkan pemindahan 350 institusi awam berpangkalan di Seoul pada 2026.
  • Kira-kira separuh daripada 51 juta penduduk tinggal di kawasan metropolitan Seoul; OECD: 12 peratus keluasan sumbang 53 peratus KDNK.

Perdana Menteri, Han Seong-sook berkata, kerajaan menyasarkan pejabat presiden kedua itu siap pada Ogos 2029, manakala bangunan kedua Perhimpunan Kebangsaan dijangka siap pada 2033.

“Pertumbuhan seimbang bukan lagi pilihan, tetapi strategi untuk memastikan kelangsungan Korea Selatan yang mampan,” katanya dalam taklimat pada Khamis.

Langkah itu turut melibatkan rancangan memindahkan Kementerian Kesaksamaan Gender dan Perkhidmatan Pendakwaan ke Sejong.

Kerajaan Korea Selatan sudah lama berusaha memindahkan institusi kerajaan keluar dari Seoul bagi menggalakkan pembangunan lebih seimbang.

Proses pemindahan bermula pada 2012 apabila pejabat perdana menteri dipindahkan ke Sejong, kira-kira 120 kilometer ke selatan Seoul.

Sejak itu, sebanyak 44 badan kerajaan pusat, termasuk kementerian kewangan dan kesihatan, telah berpindah ke bandar berkenaan.

Kerajaan turut merancang memuktamadkan pelan pemindahan 350 institusi awam yang kini berpangkalan di kawasan metropolitan Seoul pada 2026.

Kementerian Luar dan Kementerian Penyatuan juga berkemungkinan dipindahkan ke Sejong selepas pejabat presiden dan kompleks Parlimen kedua siap.

Langkah itu dibuat ketika Korea Selatan berdepan jurang pembangunan yang semakin ketara antara Seoul dan wilayah lain.

Kira-kira separuh daripada 51 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan metropolitan Seoul bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan pendidikan.

Data Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menunjukkan wilayah ibu negara hanya merangkumi kira-kira 12 peratus keluasan Korea Selatan tetapi menyumbang 53 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

Wilayah itu juga menerima lebih tiga perlima daripada keseluruhan pelaburan penyelidikan dan pembangunan negara.

Ketidakseimbangan itu turut dikaitkan dengan penyusutan dan penuaan penduduk di banyak wilayah, sehingga menyebabkan sekolah dan klinik kanak-kanak terpaksa ditutup.

Menurut data kerajaan, 130 daripada 228 bandar, daerah dan wilayah Korea Selatan, atau 57 peratus, dikategorikan berisiko mengalami penyusutan penduduk sehingga boleh menyebabkan kawasan berkenaan hilang populasi pada 2024.

Presiden Lee Jae Myung sebelum ini berkata, ketidakseimbangan pembangunan yang ketara menjadi punca kepada banyak masalah utama yang sedang dihadapi Korea Selatan.

Pengumuman itu turut dibuat selepas Samsung Electronics dan SK hynix mengumumkan rancangan melabur 800 trilion won (kira-kira AS$589 bilion) bagi membangunkan hab cip semikonduktor di barat daya Korea Selatan.

Pelaburan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi wilayah dan mengurangkan jurang pembangunan dengan kawasan metropolitan Seoul. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.