Dua lelaki ditahan di Vietnam susulan tembakan maut warga Australia

Foto Reuters

HO CHI MINH, 26 Mei – Pihak berkuasa Vietnam menahan dua lelaki warga asing yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan maut terhadap seorang lelaki Australia yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah, minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa Lorenzo Laemalu, 24, dilaporkan maut selepas ditembak; seorang rakannya cedera dalam insiden.
  • Rakaman CCTV menunjukkan lelaki bertopi dan bertudung kepala melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol.
  • Suspek utama 27 tahun dan rakan subahat 23 tahun, dipercayai warga Samoa, ditahan di sempadan Vietnam-Kemboja selepas melarikan diri.
  • Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai ada kaitan dengan jenayah terancang di Sydney; Australia kini bekerjasama dengan Vietnam.

Polis Vietnam dalam kenyataan memaklumkan, kedua-dua suspek warga Samoa itu ditahan kurang 72 jam selepas kejadian yang berlaku pada 21 Mei lalu di luar sebuah restoran makanan laut di pusat bandar Ho Chi Minh.

“Mangsa, Lorenzo Laemalu, 24 tahun, dilaporkan maut selepas ditembak beberapa kali, manakala seorang lagi rakannya cedera dalam insiden tersebut.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopi dan bertudung kepala melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol ke arah mangsa sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, suspek utama berusia 27 tahun dipercayai melepaskan tembakan, manakala seorang lagi lelaki berusia 23 tahun bertindak sebagai rakan subahat.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan di kawasan sempadan Vietnam-Kemboja selepas melarikan diri sejurus kejadian.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah terancang di Sydney, Australia, yang terlibat dalam konflik dengan kumpulan pesaing,” katanya.

Pihak berkuasa Vietnam kini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta kemungkinan penglibatan pihak lain, termasuk elemen jenayah rentas sempadan.

Kes tersebut turut mendapat perhatian pihak berkuasa Australia yang kini bekerjasama rapat dengan Vietnam bagi membantu siasatan.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.