
VICTORIA, 9 Ogos – Pihak berkuasa British Columbia mengisytiharkan darurat selepas kebakaran hutan Bald Range yang memaksa lebih 20,000 penduduk dipindahkan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengurusan Kecemasan dan Kesiapsiagaan Iklim British Columbia, Kelly Greene.
- Kebakaran merebak pantas, menjejaskan Summerland dan komuniti sekitar.
- Arahan pemindahan melibatkan kira-kira 12,000 penduduk Summerland dan 8,000 penduduk Peachland.
- Bantuan helikopter membantu evakuasi, lebih 50 individu dipindahkan; kebakaran melibatkan sekitar 50 kilometer persegi.
Kenyataan Premier, David Eby pula memaklumkan, kebakaran hutan Bald Range yang merebak dengan pantas pada lewat Jumaat telah menjejaskan seluruh Summerland dan komuniti sekitar.
“Arahan pemindahan melibatkan kira-kira 12,000 penduduk Summerland dan 8,000 penduduk di Peachland serta lokasi sekitar turut diarah meninggalkan kediaman masing-masing.
“Bantuan helikopter turut membantu penduduk terjejas,”menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu laporan CTV News memaklumkan lebih 50 individu terpaksa dipindahkan melalui bantuan helikopter.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Mark Carney menerusi hantaran di ‘X’ mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba yang giat menjalankan operasi memadam kebakaran dan memindahkan penduduk.
“Kerajaan persekutuan juga sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan dan mengharapkan penduduk yang terjejas dapat pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat tidak lama lagi,”katanya dalam hantaran berkenaan.
Kebakaran dilaporkan berlaku pada petang Jumaat merebak sehingga melibatkan kawasan seluas 50 kilometer persegi dalam tempoh beberapa jam dengan pasukan penyelamat masih berdepan dengan ‘cabaran’ untuk memadamkan kebakaran berkenaan sepenuhnya.-AFP