
TACLOBAN, 23 Jun – Polis Filipina percaya perbuatan buli mungkin menjadi punca dua pelajar melepaskan tembakan di sebuah sekolah di Tacloban City, mengorbankan tiga pelajar dan mencederakan tujuh yang lain.
- Dua suspek berusia 15 dan 14 tahun merupakan pelajar sama dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.
- Siasatan awal mendapati kedua-dua remaja dipercayai menjadi mangsa buli sejak berada di tingkatan satu.
- Polis merampas 40 kelongsong peluru serta mengesan pistol Glock 9 milimeter dan revolver .38 di tempat kejadian.
- Pistol Glock didaftarkan kepada seorang anggota polis wanita yang disiasat, manakala revolver didaftarkan kepada agensi keselamatan di Cebu.
Jurucakap Polis Kebangsaan Filipina, Allen Rae Co, berkata kedua-dua suspek berusia 15 dan 14 tahun merupakan pelajar di sekolah yang sama dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu dipercayai menjadi mangsa buli sejak berada di tingkatan satu.
“Daripada 10 mangsa, tiga disahkan maut manakala tujuh lagi cedera. Tiga cedera akibat tembakan, manakala empat lagi cedera ketika cuba menyelamatkan diri dalam keadaan panik,” katanya.
Polis berkata seorang suspek ditahan sejurus selepas kejadian, manakala seorang lagi menyerah diri tidak lama kemudian.
Polis turut merampas 40 kelongsong peluru di lokasi kejadian serta mengenal pasti senjata yang digunakan iaitu sepucuk pistol Glock 9 milimeter dan revolver .38.
Siasatan mendapati pistol Glock berkenaan didaftarkan kepada seorang anggota polis wanita yang kini sedang disiasat dan ditempatkan di bawah pengawasan pejabat polis wilayah.
Polis turut mengesan asal-usul revolver itu yang didaftarkan kepada sebuah agensi keselamatan di Cebu City. – Reuters.