Bekas Presiden Korea Selatan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun

Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol/ AFP

SEOUL, 12 Jun – Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun pada Jumaat selepas didapati bersalah mengarahkan penghantaran dron ke Korea Utara, sebagai alasan mengisytiharkan undang-undang tentera pada 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendakwa Raya Khas berkata tindakan Yoon mewujudkan suasana seolah-olah negara berperang dan menjejaskan keselamatan negara.
  • Yoon sudah dipenjara seumur hidup pada Februari atas dakwaan mengetuai pemberontakan untuk mengisytiharkan undang-undang tentera.
  • Beliau merayu; peguam menafikan arahan dron, menegaskan ia tindak balas pertahanan terhadap belon Korea Utara, sementara hubungan kekal tegang.

Menurut Pendakwa Raya Khas tindakan Yoon untuk mewujudkan suasana seolah-olah negara berada dalam keadaan peperangan telah menjejaskan keselamatan negara.

Hukuman itu dikenakan selepas Yoon dipenjara seumur hidup pada Februari lalu kerana mengetuai pemberontakan yang didakwa bertujuan melumpuhkan Perhimpunan Kebangsaan Korea Selatan menerusi pengisytiharan undang-undang tentera.

Jurucakap Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengesahkan Yoon dijatuhi hukuman penjara 30 tahun bagi pertuduhan berkaitan operasi dron, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Pendakwa raya berhujah operasi itu meningkatkan ketegangan dengan Korea Utara dan menyebabkan kebocoran maklumat sulit selepas dron terhempas, lapor agensi berita Yonhap.

Bagaimanapun, Yoon telah mengemukakan rayuan terhadap sabitan itu dan menegaskan bahawa pengisytiharan undang-undang tentera dibuat demi kepentingan negara.

Pasukan peguam Yoon turut menafikan penglibatan Yoon dalam operasi dron berkenaan, dengan mendakwa tiada arahan awal atau kelulusan daripadanya diberikan untuk misi tersebut.

Peguamnya berhujah bahawa penghantaran dron itu merupakan tindak balas terhadap tindakan Korea Utara yang menghantar belon berisi sampah merentasi sempadan pada tahun sama. Ia adalah tindakan pertahanan diri yang sah serta tidak berkaitan dengan pengisytiharan undang-undang tentera.

Peguam Yoon turut menyifatkan dakwaan pendakwaan sebagai “spekulasi dan tidak berasas”.

Hubungan Korea Selatan dan Korea Utara kekal tegang, dengan isu dron terus menjadi punca pertikaian antara kedua-dua negara yang masih berada dalam konflik.-AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.