Bekalan minyak global dijangka atasi permintaan pada suku keempat

Foto AFP

PARIS, 13 November – Bekalan minyak global dijangka melebihi permintaan pada suku keempat tahun ini selepas peningkatan eksport dari Teluk menyebabkan lebihan bekalan pasaran pada Oktober, buat kali pertama sejak perang Iran tercetus.

RINGKASAN BERITA AI
  • IEA: Serangan ke atas kapal tangki berterusan; penghantaran dari Teluk meningkat tetapi masih jauh lebih rendah berbanding pra-perang.
  • Tehran membenarkan lebih banyak kapal melalui Selat Hormuz, menyebabkan harga minyak merosot minggu-minggu kebelakangan ini.
  • Bekalan meningkat sekitar tiga juta tong sehari pada September dan tambahan 2.3 juta tong pada Oktober.
  • Permintaan global dijangka susut 2.7 juta tong sehari tahun ini; diesel mahal dan kekurangan produk petroleum kekal kebimbangan utama.

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan, meskipun serangan terhadap kapal tangki yang cuba melalui Selat Hormuz masih berterusan, penghantaran minyak dari rantau Teluk mencecah 18.4 juta tong sehari (mb/d), namun jumlah itu masih 26 peratus lebih rendah berbanding paras sebelum perang.

“Pasaran minyak menunjukkan tanda awal ke arah keseimbangan apabila bekalan minyak global mengatasi permintaan buat kali pertama sejak tercetusnya perang di Iran,” menurut laporan bulanan agensi yang berpangkalan di Paris itu.

Harga minyak merosot ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas Tehran mula membenarkan lebih banyak kapal yang mendapat kebenarannya melalui Selat Hormuz, laluan yang ditutup Iran pada bulan-bulan awal perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada penghujung Februari lalu.

Perkembangan itu membantu meningkatkan keseluruhan bekalan minyak sebanyak tiga juta tong sehari pada September dan tambahan 2.3 juta tong pada Oktober.

Bagaimanapun, permintaan minyak global dijangka menyusut sebanyak 2.7 juta tong sehari secara keseluruhan tahun ini berikutan harga minyak yang kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum perang, selain mempercepatkan peralihan kepada penggunaan kenderaan elektrik dan meningkatkan kecekapan penggunaan bahan api dalam sektor automotif global.

Harga diesel khususnya mencecah AS$180 setong pada Oktober, kira-kira 77 peratus lebih tinggi berbanding sebelum perang, susulan serangan Iran terhadap kilang penapisan di negara jiran Teluk yang didakwa membantu serangan AS.

Serangan Ukraine terhadap kilang penapisan minyak dan kemudahan tenaga lain di Rusia turut menjejaskan bekalan diesel ke pasaran global.

“Ketegangan bekalan produk petroleum yang serius, khususnya diesel, kekal sebagai kebimbangan utama pasaran secara keseluruhan dan pengguna,” menurut IEA. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.