IAEA gesa Iran benarkan akses ke kemudahan nuklear

Foto AFP

VIENNA, 13 November – Agensi pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Iran mengambil “langkah berperingkat” bagi membolehkan pemeriksa kembali ke kemudahan nuklear utama di republik Islam itu, sambil menegaskan akses berkenaan amat penting.

RINGKASAN BERITA AI
  • IAEA tidak mendapat akses ke kemudahan nuklear utama Iran sejak serangan pada Jun 2025, dan berulang kali menuntut akses ke tapak berkenaan.
  • Laporan IAEA menggesa pelaksanaan pengesahan tanpa kelewatan dan menggalakkan langkah teknikal berperingkat untuk membolehkan pemeriksa kembali.
  • Kekurangan kerjasama dan maklumat menghalang kesimpulan bahawa tiada pengalihan bahan nuklear, menimbulkan kebimbangan serius terhadap percambahan nuklear.
  • Lembaga Gabenor merujuk Iran ke Majlis Keselamatan PBB atas ketidakpatuhan, kali pertama dalam 20 tahun berhubung laporan nuklear.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) tidak mendapat akses ke kemudahan nuklear utama di Iran sejak Israel dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) melancarkan konflik selama 12 hari pada Jun 2025 yang turut menyaksikan serangan ke atas beberapa tapak nuklear negara itu.

Kemudahan nuklear Iran turut menjadi sasaran dalam perang terbaharu yang tercetus pada 28 Februari lalu, sekali gus mendorong IAEA berulang kali menuntut akses ke lokasi berkenaan.

Dalam laporannya yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Gabenor IAEA minggu depan, agensi itu menyatakan bahawa aktiviti pengesahan di Iran perlu dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan lanjut.

“Ketua pengarah menggalakkan Iran mempertimbangkan langkah teknikal secara berperingkat bagi mewujudkan keadaan yang membolehkan pemeriksa agensi itu kembali ke Iran.

“Ia boleh membuka laluan kepada pelaksanaan langkah perlindungan biasa di Iran, selain membantu mewujudkan suasana membina keyakinan yang kondusif ke arah mencapai perjanjian lebih menyeluruh,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan turut memperincikan komunikasi antara IAEA dengan Iran sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini.

Pemeriksa IAEA dibenarkan melawat loji nuklear Bushehr di Iran pada September lalu, namun masih tidak mendapat akses ke kemudahan nuklear lain.

IAEA mengakui bahawa serangan ketenteraan terhadap kemudahan dan tapak nuklear Iran telah mewujudkan keadaan yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, disebabkan kekurangan kerjasama, agensi itu tidak dapat membuat kesimpulan bahawa tiada pengalihan bahan nuklear yang diisytiharkan daripada aktiviti nuklear aman Iran.

“Kekurangan maklumat agensi berhubung bahan nuklear serta akses ke kemudahan bagi tujuan pengesahan menimbulkan kebimbangan serius terhadap risiko percambahan nuklear,” menurut IAEA sambil menegaskan perkara itu perlu ditangani dengan segera.

Pada September lalu, Lembaga Gabenor IAEA merujuk Iran kepada Majlis Keselamatan PBB berhubung ketidakpatuhan negara itu terhadap kewajipan nuklearnya, sekali gus menandakan kali pertama dalam tempoh 20 tahun Iran dirujuk kepada badan tertinggi PBB itu kerana gagal mematuhi kewajipan pelaporan nuklear.

Sebelum serangan pada Jun 2025, IAEA menganggarkan Iran memiliki kira-kira 440 kilogram uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, menghampiri tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan bom nuklear.

Jumlah itu juga jauh melebihi had 3.67 peratus yang ditetapkan menerusi perjanjian nuklear 2015 dengan Iran, yang kini tidak lagi berkuat kuasa.

Sejak Jun 2025, nasib simpanan uranium berkenaan masih belum dapat dipastikan.

Iran sejak sekian lama menafikan bahawa negara itu berusaha membangunkan senjata nuklear. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.