Banjir memburuk di utara China, ribuan penduduk terkandas

Hujan lebat susulan Taufan Bavi menyebabkan banjir di beberapa kawasan, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengaktifkan tindak balas kecemasan banjir Tahap I di Shenyang./ REUTERS 

HEBEI/ LIAONING, 13 Julai – Banjir besar terus melanda utara China dengan jalan raya dan kenderaan ditenggelami air di wilayah Hebei dan Liaoning, ketika hujan lebat yang dibawa Taufan Bavi terus mengakibatkan paras sungai meningkat serta menjejaskan penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Air Sungai Luan melimpah di Kuancheng, Hebei; lebih 1,800 penduduk terkandas dan operasi menyelamat sedang giat dijalankan.
  • Shenyang dilanda banjir, puluhan kenderaan hampir tenggelam; polis dan pasukan penyelamat memindahkan penduduk, amaran merah banjir kilat dikeluarkan.
  • 46 sungai melepasi paras amaran banjir; cuaca buruk dijangka berterusan dengan hujan lebat, petir, hujan batu dan risiko puting beliung.

Di daerah Kuancheng, Hebei, paras air dilaporkan mencecah lebih dua meter sehingga menyebabkan kira-kira 1,800 penduduk terkandas selepas Sungai Luan melimpah. Operasi menyelamat sedang giat dijalankan di kawasan terjejas.

Di wilayah Liaoning pula, beberapa kawasan di bandar Shenyang ditenggelami banjir dengan puluhan kenderaan hampir tenggelam sepenuhnya.

Polis dan anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terperangkap, manakala pihak berkuasa mengeluarkan amaran merah banjir kilat, tahap amaran tertinggi.

Pihak berkuasa turut menggantung sesi persekolahan, operasi perniagaan dan aktiviti luar di beberapa kawasan berisiko, selain lebih 30 laluan kereta api di Shenyang terjejas akibat cuaca buruk.

Pusat Meteorologi China turut memberi amaran hujan lebat, ribut petir, hujan batu dan kemungkinan puting beliung di beberapa wilayah utara.

Menurut pihak berkuasa, sebanyak 46 batang sungai di seluruh negara kini melepasi paras amaran banjir, sekali gus meningkatkan risiko limpahan air di beberapa kawasan rendah.

Keadaan itu berlaku selepas Taufan Bavi membadai pantai timur China pada hujung minggu sebelum bergerak ke kawasan pedalaman.

Taufan berkenaan mula melanda wilayah Zhejiang pada Sabtu malam dengan kelajuan angin mencecah 144 kilometer sejam sebelum beransur lemah kepada ribut tropika kuat.

Sebelum itu, hampir 1.72 juta penduduk di Zhejiang dipindahkan ke kawasan selamat, manakala ratusan penerbangan serta ribuan perkhidmatan kereta api dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Hujan lebat turut mengakibatkan banjir di beberapa bandar termasuk Wenzhou dan Yueqing.

Perkhidmatan kaji cuaca China memaklumkan Bavi dijangka bergerak ke arah timur laut sebelum memasuki Laut Kuning dan berubah menjadi siklon luar tropika, namun hujan lebat dijangka terus melanda beberapa wilayah di timur dan utara China.

Bencana terbaharu itu berlaku ketika China masih berdepan kesan cuaca ekstrem minggu lalu apabila Ribut Tropika Maysak menyebabkan banjir besar di selatan negara itu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang, selain mengakibatkan beberapa sungai melimpah dan sebuah empangan pecah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.