AS sedia teruskan perang jika gagal capai perjanjian

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 9 April – Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) kekal berada dalam kesiapsiagaan tertinggi untuk menyambung semula operasi ketenteraan sekiranya rundingan gencatan senjata dengan Iran gagal mencapai penyelesaian yang dipersetujui.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Trump menangguhkan serangan besar terhadap Iran dua jam sebelum tamat tempoh pembukaan semula Selat Hormuz.
  • Pentagon melaporkan kemusnahan besar: kira-kira 80% sistem pertahanan udara, 90% kilang senjata, hampir 90% aset armada.
  • Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran mengisytiharkan kemenangan bersejarah dan menuduh perang AS sebagai kegagalan memalukan.
  • Pegawai AS dan Iran dijadual bertemu di Pakistan Jumaat ini untuk memulakan rundingan damai.

Pengerusi Ketua Pegawai Bersama, Jeneral Dan Caine berkata, meskipun gencatan senjata sedang berkuat kuasa, pasukan gabungan tetap bersedia untuk melancarkan semula serangan sama seperti yang dilaksanakan sepanjang 38 hari konflik lepas.

“Kami berharap Iran memilih keamanan yang berkekalan.

“Gencatan senjata ini hanyalah satu tempoh pemberhentian sementara dan tentera bersedia untuk kembali bertempur jika diarahkan,” katanya dalam sidang media di Pentagon pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan keputusan Presiden Donald Trump untuk menangguhkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada Selasa, dua jam sebelum tamat tempoh masa yang ditetapkan bagi Tehran membuka semula laluan Selat Hormuz yang disekat.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mendakwa Iran kini berada dalam kekalahan selepas mengalami kemusnahan besar-besaran dari segi infrastruktur pertahanan, industri senjata dan keupayaan peluru berpandu negara itu.

Menurut data Pentagon, operasi ketenteraan AS setakat ini telah memusnahkan kira-kira 80 peratus sistem pertahanan udara Iran, 90 peratus kilang senjata serta menenggelamkan hampir 90 peratus aset armada tentera laut negara berkenaan.

Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran mendakwa pihaknya telah mencapai kemenangan bersejarah dan menyifatkan perang yang dilancarkan AS sebagai satu kegagalan yang memalukan.

Di sebalik pelaksanaan gencatan senjata, ketegangan dilaporkan masih berterusan apabila saluran paip minyak utama Arab Saudi menjadi sasaran serangan, manakala Kuwait melaporkan beberapa fasilitinya diserang oleh dron milik Iran.

Sepanjang 38 hari peperangan meletus, seramai 13 anggota tentera AS dilaporkan terkorban manakala 372 lagi cedera.

Pegawai AS dan Iran dijadualkan bertemu di Pakistan pada Jumaat ini bagi memulakan rundingan damai. – REUTERS