AS, EU dan Jepun perkukuh kerjasama mineral kritikal

FOTO AFP

WASHINGTON, 5 Februari – Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mengumumkan perkongsian strategik bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun dalam sektor mineral kritikal, susulan kebimbangan terhadap dominasi China dalam rantaian bekalan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS, EU dan Jepun jalin perkongsian strategik untuk kurangkan kerentanan rantaian bekalan mineral kritikal.
  • Kerjasama merangkumi dasar dan mekanisme perdagangan terselaras, termasuk kemungkinan harga lantai pelarasan sempadan.
  • Inisiatif bertujuan memperkukuh keselamatan ekonomi dan negara melalui pemelbagaian sumber dan memorandum persefahaman.

Pejabat Wakil Perdagangan AS memaklumkan kerjasama itu bertujuan membangunkan dasar dan mekanisme perdagangan terselaras bagi mengurangkan kerentanan rantaian bekalan, termasuk kemungkinan pelaksanaan harga lantai pelarasan sempadan.

Mineral kritikal, termasuk unsur nadir bumi, penting dalam pengeluaran barangan berteknologi tinggi seperti telefon pintar, kenderaan elektrik dan aset ketenteraan.

China, sebagai pengeluar utama, sebelum ini mengenakan sekatan eksport unsur nadir bumi, sekali gus mencetuskan kebimbangan di AS dan negara sekutunya.

Dalam kenyataan bersama, AS, Suruhanjaya Eropah dan Jepun menyifatkan langkah itu sebagai usaha penting untuk memperkukuh keselamatan ekonomi dan keselamatan negara melalui peningkatan daya tahan sektor mineral kritikal.

Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, perkongsian itu menghantar isyarat jelas komitmen ekonomi pasaran utama dunia dalam membentuk paradigma baharu perdagangan keutamaan bagi mineral kritikal.

Kerjasama berkenaan merangkumi usaha ke arah pemeteraian memorandum persefahaman AS-EU serta inisiatif perdagangan bersama rakan sehaluan bagi mempelbagaikan sumber bekalan. – AFP