Arab Saudi setuju utamakan penghantaran minyak ke Korea Selatan

Korea Selatan sedang mempertimbang untuk mempelbagaikan import minyak mentah. /Foto REUTERS

SEOUL, 13 April – Menteri Industri Kim Jung-kwan berkata pada Ahad bahawa Arab Saudi berjanji akan mengutamakan penghantaran minyak ke Korea Selatan ketika Seoul berusaha mencari laluan alternatif menerusi Laut Merah, lapor Agensi Berita Yonhap.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seoul berusaha menghantar lima kapal Korea ke pelabuhan Yanbu untuk membuka laluan bekalan alternatif melalui Laut Merah.
  • Kerajaan sedang menyediakan langkah membolehkan kapal menggunakan laluan Laut Merah termasuk kemungkinan pengiring oleh kapal pemusnah Dae Joyoung.
  • Kerajaan mempertimbangkan mempelbagaikan import minyak mentah dengan meningkatkan pembelian dari AS dan Kazakhstan untuk menjamin bekalan.

Pihak berkuasa di Seoul sedang berusaha menghantar lima kapal Korea ke bandar pelabuhan Yanbu di Arab Saudi, yang terletak di pesisir Laut Merah bagi membantu mewujudkan laluan bekalan alternatif susulan Selat Hormuz yang telah ditutup di tengah konflik Asia Barat.

“Kami sedang menyediakan langkah bagi membolehkan kapal kami menggunakan laluan Laut Merah, termasuk kemungkinan operasi pengiring oleh kapal pemusnah Dae Joyoung Unit Cheonghae,” kata Kim dalam temu bual radio.

Kim menegaskan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi telah berjanji untuk memperuntukkan penghantaran kepada Korea Selatan.

Beliau juga berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mempelbagaikan import minyak mentah dengan meningkatkan pembelian dari Amerika Syarikat (AS) dan Kazakhstan.

“Ini adalah era yang menyaksikan usaha menjamin sumber menjadi amat penting, seiring dengan daya maju ekonomi dan kecekapan,” katanya.

Harga minyak melonjak susulan serangan AS-Israel ke atas Iran pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Korea Selatan, yang sangat bergantung kepada import dari Asia Barat bagi bekalan tenaganya. -BERNAMA-YONHAP