40 terbunuh dalam serangan di Kenscoff

Foto REUTERS

PORT-AU-PRINCE, 25 Ogos – Keganasan kumpulan bersenjata di Haiti kembali meragut nyawa apabila kira-kira 40 orang terbunuh dalam serangan terhadap penduduk yang kehilangan tempat tinggal di sebuah gereja di Kenscoff, berhampiran ibu negara, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa mangsa dibunuh dengan kejam, puluhan cedera dan sebahagian diculik, menurut Datuk Bandar Massillon Jean.
  • Serangan menyasarkan kem penempatan sementara yang menempatkan penduduk terpaksa melarikan diri akibat keganasan di kawasan lain.
  • Pejabat Perdana Menteri menghantar pasukan tambahan; Haiti terus bergelut dengan kumpulan bersenjata, kemiskinan dan krisis kemanusiaan.

Datuk Bandar Kenscoff, Massillon Jean berkata beberapa mangsa dibunuh dengan kejam manakala puluhan lagi cedera dan sebahagian yang lain diculik.

Beliau berkata pihak berkuasa telah menemukan kira-kira 40 mayat, namun operasi mencari masih diteruskan kerana terdapat mangsa yang belum ditemui.

Serangan itu menyasarkan kem penempatan sementara yang menempatkan penduduk yang melarikan diri daripada keganasan di kawasan lain.

Jean menyifatkan kejadian itu sebagai “malam penuh keganasan” di Kenscoff yang sejak beberapa bulan lalu menjadi lokasi pertempuran antara kumpulan bersenjata.

Pejabat Perdana Menteri Haiti, Alix Didier Fils-Aime dalam kenyataan menyatakan simpati kepada keluarga mangsa dan mengumumkan penghantaran pasukan tambahan untuk memulihkan keselamatan di kawasan berkenaan.

Haiti, negara termiskin di benua Amerika, telah lama berdepan ketidakstabilan politik, rasuah dan keganasan kumpulan bersenjata yang menguasai sebahagian besar ibu negara.

Kumpulan berkenaan sering dikaitkan dengan pembunuhan, rogol, rompakan dan penculikan, selain terus berusaha meluaskan kawasan pengaruh mereka.

Menurut PBB, hampir 1.5 juta penduduk Haiti kini kehilangan tempat tinggal, manakala lebih lima juta berdepan ketidakjaminan makanan yang serius.

Krisis keselamatan bertambah buruk pada awal 2024 apabila kumpulan berkenaan melancarkan gelombang keganasan yang membawa kepada peletakan jawatan perdana menteri ketika itu.

Haiti tidak mengadakan sebarang pilihan raya sejak 2016.

Presiden terakhirnya, Jovenel Moise, dibunuh pada Julai 2021 dan tidak digantikan.

Pilihan raya umum dijadualkan diadakan pada Disember tahun ini. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.