
MINNEAPOLIS, 3 September – Dua orang maut manakala beberapa lagi cedera, termasuk tiga anggota polis, selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah bangunan pangsapuri di sini, pada Rabu.
- Suspek ditemui meninggal dunia, polis belum mengesahkan punca kematian.
- Polis memasuki bangunan, menemui beberapa mangsa sebelum terdengar tembakan dari tingkat atas.
- Gabenor meminta doa untuk keselamatan penduduk; FBI menghantar anggota untuk membantu siasatan.
Suspek turut ditemui meninggal dunia, namun polis masih belum mengesahkan punca kematian.
Jurucakap Polis Minneapolis, Garrett Parten berkata, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Empat orang awam turut dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, selain tiga anggota polis yang disyaki terkena tembakan.
Menurut Parten, polis menerima panggilan kecemasan berhubung bunyi tembakan di sebuah bangunan pangsapuri di pusat bandar Minneapolis sekitar jam 4.30 petang.
Anggota polis kemudian memasuki bangunan berkenaan dan menemui beberapa mangsa sebelum terdengar bunyi tembakan dari tingkat atas.
Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan motif kejadian.
Gabenor Minnesota, Tim Walz, meminta orang ramai mendoakan keselamatan penduduk negeri itu, manakala Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel berkata, agensi berkenaan turut menghantar anggota bagi membantu siasatan.
Pihak berkuasa tempatan dijangka mengadakan sidang media lanjut, bagi memberikan perkembangan terbaharu berhubung kejadian itu. – AFP