
HUBEI, 8 Julai – Sekurang-kurangnya 11 orang maut, manakala lebih 330 lagi cedera selepas dua puting beliung membadai wilayah Hubei di tengah China, menyebabkan kemusnahan besar di Huanggang dan beberapa bandar berhampiran.
- Masih terdapat penduduk hilang; pasukan penyelamat giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
- Rakaman dron dan video tunjuk kemusnahan besar pada jalan, perumahan, taman perindustrian dan pusat logistik.
- Lebih 20 rumah runtuh dan kira-kira 4,800 lagi mengalami kerosakan.
- Penilaian terbaharu sahkan dua puting beliung berasingan terbentuk dalam kira-kira empat jam akibat sisa Taufan Maysak.
Terdapat penduduk yang dilaporkan masih hilang, manakala pasukan penyelamat terus giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Sun berkata, keadaan berubah dengan pantas apabila ribut melanda kawasan itu.
“Pada mulanya ada kilat, kemudian angin bertiup dengan sangat kencang. Pokok-pokok bergoyang dan mengeluarkan bunyi yang kuat. Dari dalam rumah, kami rasa rumah bergoncang. Pintu dan tingkap pecah, malah sebuah kereta turut remuk,” katanya.
Rakaman dron dan video dari darat yang dirakam pada Selasa menunjukkan kemusnahan besar apabila angin kencang merosakkan jalan raya, kawasan perumahan, taman perindustrian dan pusat logistik.
Lebih 20 rumah dilaporkan runtuh, manakala kira-kira 4,800 lagi mengalami kerosakan.
Laporan awal menyatakan hanya satu ribut melanda kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, penilaian terbaharu mengesahkan dua puting beliung berasingan membadai lokasi berbeza dalam tempoh kira-kira empat jam.
Menurut pihak berkuasa, puting beliung itu terbentuk ketika ribut petir kuat melanda yang berpunca daripada sisa Taufan Maysak.
Bandar Huanggang, Huangshi, Ezhou dan Xianning kini berdepan usaha pemulihan selepas bencana berkenaan. – VIORY