Pengundi era Ai: Cabaran baharu demokrasi Malaysia

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI generatif menghasilkan imej, video dan suara palsu yang sukar dibezakan, meningkatkan risiko penyebaran maklumat dimanipulasi.
  • Algoritma menganalisis tingkah laku pengguna dan sistem cadangan mempengaruhi maklumat yang dipaparkan kepada individu.
  • Kandungan sensasi mendapat interaksi tinggi lalu diperkuatkan oleh algoritma; populariti bukan ukuran kesahihan maklumat.
  • Demokrasi matang memerlukan pengundi yang celik digital dan politik, mampu menyemak silang sumber rasmi sebelum membuat keputusan.

Setiap kali menjelang pilihan raya, media sosial menjadi antara medium utama bagi pengundi mendapatkan maklumat berkaitan calon, parti politik dan isu semasa.

Video pendek di TikTok, siaran langsung di Facebook, infografik di Instagram serta mesej yang tular di WhatsApp kini lebih pantas membentuk persepsi pengundi berbanding ceramah atau laporan berita konvensional.

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja membolehkan penghasilan kandungan seperti teks, imej, audio dan video secara automatik, malah algoritma pembelajaran mesin (machine learning) yang digunakan oleh platform media sosial turut menganalisis tingkah laku pengguna.

Analisis ini merangkumi sejarah tontonan, carian, perkongsian serta tempoh masa yang dihabiskan pada sesuatu kandungan.

Berdasarkan maklumat tersebut, sistem cadangan (recommendation system) akan memaparkan kandungan yang dijangka menarik minat pengguna, sekali gus mempengaruhi corak maklumat yang diterima oleh setiap individu.

Perkembangan ini menunjukkan bahawa usaha memperkukuh literasi digital perlu bergerak seiring dengan agenda pendigitalan negara.

Malaysia melalui Dasar Kecerdasan Buatan Negara 2021–2025 (National AI Roadmap) dan inisiatif MyDIGITAL memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem AI yang bertanggungjawab, beretika dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Namun, kejayaan agenda ini bukan sahaja bergantung kepada pembangunan teknologi, tetapi juga kepada keupayaan rakyat memahami cara teknologi tersebut berfungsi dan menggunakannya secara berhemah.

Dalam suasana pilihan raya, kandungan yang sensasi, kontroversi atau membangkitkan emosi lazimnya menerima kadar interaksi (engagement rate) yang tinggi. Algoritma media sosial sering menganggap kandungan sebegini sebagai relevan, lalu menyebarkannya kepada lebih ramai pengguna.

Pada masa yang sama, teknologi AI generatif mampu menghasilkan imej, video dan rakaman suara yang sukar dibezakan daripada kandungan sebenar, sekali gus meningkatkan risiko penyebaran maklumat yang dimanipulasi atau di luar konteks.

Keadaan ini menyebabkan pengundi tidak lagi boleh menjadikan jumlah tontonan, tanda suka atau perkongsian sebagai ukuran kesahihan sesuatu maklumat.

Sebaliknya, setiap kandungan perlu dinilai secara kritis dengan membuat semakan silang melalui sumber rasmi dan media yang berwibawa sebelum dipercayai atau dikongsi.

Dalam era AI, demokrasi yang matang memerlukan pengundi yang bukan sahaja celik politik, tetapi juga memahami bagaimana teknologi mempengaruhi maklumat yang dipaparkan kepada mereka.

Apabila masyarakat memahami cara algoritma berfungsi, mereka akan lebih bersedia membuat keputusan berdasarkan fakta, bukannya dipengaruhi oleh kandungan yang sekadar tular di media sosial.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts. Dr. Muhamad Sufri Muhammad
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Putra Malaysia
E-mel: sufry@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.