Memperkasa graduan sebagai pencipta pekerjaan

Majlis Penutupan INSPIRE 2026 merekodkan 117 usahawan siswa berjaya menjana jualan hampir RM400,000 menerusi Geran Pemula INSPIRE/Foto UKM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Transformasi peranan IPT dari melahirkan pencari kerja kepada pembentuk graduan sebagai pencipta pekerjaan dan inovator ekonomi.
  • Integrasi pendidikan keusahawanan holistik yang gabungkan aspek kognitif, afektif dan psikomotor serta pembelajaran berasaskan pengalaman.
  • Pembangunan ekosistem keusahawanan di IPT melalui program, mentor dan sokongan modal untuk memupuk daya tahan serta peluang perniagaan.
  • Agenda keusahawanan mahasiswa menyumbang kepada penciptaan pekerjaan, pengukuhan PMKS dan pertumbuhan ekonomi negara.

Dalam mendepani cabaran makroekonomi global yang semakin kompleks, tidak menentu, dan dipacu oleh kepesatan perubahan teknologi digital, institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia sedang mengalami satu anjakan fungsi yang bersifat radikal.

Secara tradisinya, universiti berperanan sebagai institusi akademik yang menumpukan kepada penghasilan modal insan berkelayakan khusus bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam sektor awam dan swasta. Namun demikian, paradigma berorientasikan pencari pekerjaan (job seeker) semakin kurang relevan dalam landskap ekonomi semasa.

Perubahan pesat dalam struktur pasaran buruh, didorong oleh penggunaan teknologi automasi, kecerdasan buatan (AI), serta pengurangan penciptaan pekerjaan tradisional berskala besar, telah mengubah corak permintaan terhadap tenaga kerja.

Keadaan ini menyebabkan graduan berhadapan dengan persaingan yang semakin sengit untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Di samping itu, cabaran domestik seperti peningkatan kos sara hidup, tekanan inflasi, serta kadar upah yang masih rendah terus memberi kesan kepada kesejahteraan ekonomi sebahagian besar rakyat Malaysia.

Justeru, perubahan ini menuntut IPT untuk mentransformasikan peranannya daripada sekadar melahirkan graduan yang bersedia memasuki pasaran pekerjaan kepada institusi yang mampu membentuk graduan sebagai pencipta pekerjaan (job creator), usahawan, dan pemacu inovasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Sebagai tindak balas strategik terhadap perubahan struktur pasaran buruh serta ketidaksepadanan antara penawaran graduan dan permintaan industri, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkukuh mandat IPT dengan memberikan penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan keusahawanan.

Dalam konteks abad ke-21, universiti tidak lagi berfungsi semata-mata sebagai pusat penyampaian ilmu dan penghasilan graduan yang berkelayakan sebaliknya, berperanan sebagai ekosistem yang dinamik dalam melahirkan usahawan, peneraju industri dan pencipta pekerjaan (job creator).

Transformasi ini diterjemahkan melalui pelaksanaan agenda keusahawanan mahasiswa yang bertujuan melahirkan graduan bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran teknikal, malah memiliki pemikiran inovatif, berdaya tahan serta berupaya mengenal pasti, menilai dan merebut peluang perniagaan.

Aspirasi ini menuntut institusi pengajian tinggi membangunkan ekosistem keusahawanan yang kondusif melalui usaha yang sistematik untuk mengenal pasti, memupuk dan memperkukuh kompetensi keusahawanan dalam kalangan pelajar secara menyeluruh.

Sehubungan itu, pendidikan keusahawanan tidak seharusnya tertumpu kepada penyampaian teori pengurusan perniagaan atau perakaunan semata-mata.

Sebaliknya, ia perlu mengintegrasikan pembangunan aspek kognitif, afektif dan psikomotor untuk membentuk pemikiran keusahawanan yang kreatif, inovatif, berdaya tahan dan berorientasikan penyelesaian masalah.

Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) ini membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam situasi sebenar, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk mengenal pasti peluang, membuat keputusan strategik, mencipta nilai melalui inovasi dan membangunkan perniagaan yang mampan.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, KPT dengan kerjasama IPT menganjurkan pelbagai program, pertandingan dan inisiatif berimpak tinggi yang berfokus kepada pembangunan kompetensi keusahawanan mahasiswa.

Misalnya Program Innovative Studentpreneurs for Impactful & Resilient Enterprise (INSPIRE) merupakan inisiatif kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program itu bertujuan menyediakan platform kepada mahasiswa untuk mengembangkan, menguji dan mempamerkan idea perniagaan berpotensi dalam sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Program ini memfokuskan pembangunan idea perniagaan dalam empat kategori utama, iaitu kecantikan dan kesihatan, pendidikan, fesyen dan aksesori serta kraftangan, yang berpotensi memenuhi keperluan pasaran semasa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Peruntukan dana berjumlah RM189,000 yang disalurkan oleh KPT mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan bakat keusahawanan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

Melalui program ini, peserta didedahkan kepada pembangunan model perniagaan, bimbingan daripada mentor berpengalaman, latihan secara praktikal, dan penilaian oleh pakar industri bagi meningkatkan kompetensi keusahawanan mereka.

Keberkesanan program ini dapat dilihat apabila seramai 117 usahawan siswa berjaya menjana jualan hampir RM400,000 menerusi Geran Pemula INSPIRE sekali gus membuktikan potensi mahasiswa untuk membangunkan perniagaan yang berdaya maju apabila diberikan sokongan, bimbingan dan ekosistem yang kondusif.

Dalam jangka panjang, usaha ini dijangka menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan, memperkukuh ekosistem PMKS, merangsang pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam ekonomi global.

Program seperti INSPIRE juga memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin kepada pembentukan graduan yang bukan sekadar pencari pekerjaan (job seeker), malah berupaya menjadi pencipta pekerjaan (job creator) yang mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Iszan Hana Kaharudin
Timbalan Pengarah UKM-CESMED
Pensyarah kanan, Pusat Pengajian Citra Universiti
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mel: iszanhana@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.