
SAUDARA PENGARANG
- Pupuk kemahiran pemikiran analitikal, kreativiti, kebolehsuaian dan pembelajaran sepanjang hayat sejak di sekolah melalui pembelajaran pengalaman yang mencabar dan menyeronokkan.
- Perkukuh kerjasama sekolah, universiti dan industri untuk menyediakan ekosistem pembelajaran berasaskan pengalaman, pendedahan penyelidikan dan peluang inovasi.
- Seimbangkan penguasaan teknologi dengan pembentukan sahsiah, etika digital, empati dan pertimbangan moral dalam kurikulum AI dan STEM.
- Utamakan pelaburan dalam pembangunan modal insan berani berfikir, mahir menyelesaikan masalah dan mampu mencipta inovasi, bukan hanya membeli teknologi moden.
Ketika dunia sedang rancak membincangkan perkembangan pesat kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI), persoalan wajar kita renungkan bukanlah sama ada teknologi ini akan menggantikan manusia, sebaliknya sejauh mana generasi muda Malaysia benar-benar bersedia memanfaatkan AI demi kemajuan negara.
AI bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, daripada enjin carian, aplikasi pembelajaran, perkhidmatan kesihatan, pertanian pintar hinggalah kepada industri kreatif.
Dalam landskap baharu ini, sesebuah negara tidak lagi hanya bergantung kepada sumber asli atau tenaga kerja yang ramai, tetapi kepada keupayaanya melahirkan modal insan yang mampu memahami, menguasi dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.
Laporan Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum menjangkan perubahan besar dalam pasaran pekerjaan menjelang 2030. Walaupun sebahagian pekerjaan dijangka berubah atau berkurangan akibat automasi, terdapat banyak juga peluang pekerjaan baharu diwujudkan dalam bidang berkaitan dengan teknologi, data AI, ekonomi hijau.
Laporan sama turut menegaskan bahawa kemahiran pemikiran seperti analitikal, kreativiti, kebolehsuaian, kepimpinan dan pembelajaran sepanjang hayat akan menjadi antara kompetensi paling diperlukan pada masa hadapan.
Realitinya, kemahiran tersebut tidak boleh dibentuk melalui jangka masa singkat seperti melangkah ke universiti semata-mata. Ia perlu dipupuk sejak dibangku sekolah melalui pengalaman pembelajaran menyeronokkan, mencabar dan memberi ruang kepada murid untuk bertanya, mencuba, gagal dan cuba semula sehingga mereka benar-benar menghayati sesuatu proses.
Di sinilah pentingnya penglibatan strategik antara Pendidikan sekolah dan Pendidikan tinggi yang bertindak saling melengkapi bagi membentuk ekosistem pendidikanbagi melahirkan modal insan holistik.
Universiti sering dilihat sebagai destinasi akhir dalam perjalanan pendidikan seseorang. Hakikatnya, university mempunyai tanggungjawab yang lebih besar.
Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malasyai Terengganu (UMT) mempunyai kepakaran penyelidikan, tenaga akademik, kemudahan makmal moden, teknologi termaju serta rangkaian industri yang pelbagai berpotensi membuka minda pelajar sekolah terhadap dunia ilmu sebenar.

Sebagai contoh, UMT turun padang untuk mengadakan program galakan sains, robotik, pertandingan inovasi, eksplorasi alam sekitar, pendedahan teknologi AI dalam kehidupan dan aktiviti penyelidikan secara hands-on.
Menerusinya murid bukan sahaja memperoleh pengetahuan baharu, malah mula melihat bahawa sains bukan sekadar subjek peperiksaan, tetapi pembelajaran untuk mencari penyelesaian kepada sesuatu permasalahan masyarakat.
Pendekatan pembelajaran berasakan pengalaman atau experiential learning memberi impak yang jauh lebih mendalam berbandingpembelajaran secara teori semata-mata.
Seorang murid mungkin sukar memahami konsep fizik hanya melalui buku teks, namun pengalaman membinba robot kecil, menerbangkan dron atau menjalankan eksperimen di makmal mampu menimbulkan perasaan ingin tahu yang akhirnya mencetuskan minat terhadap bidang STEM.
Begitu juga AI, pelajar tidak seharusnya membangunkan model AI yang kompleks, tetapi mereka boleh didedahkan kepada bagaimana AI membantu mengenalpasti penyakit, meramal cuaca, mengurus pertanian pintas atau memantau ekosistem marin. Pendedahan seperti ini menjadikan teknologi sebagai sesuatu yang dekat dengan kehidupan mereka.
Dalam konteks Malaysia, kerjasama universiti dan sekolah perlu dilihat sebagai pelaburan jangka Panjang terhadap pembangunan negara. Setiap program STEM, robotik, inovasi atau eksplorasi sains yang dilaksanakan Bersama sebenarnya merupakan usaha membina bakat masa hadapan.
Murid yang hari ini berpeluang menyentuh perlatan makmal atau berbincang dengan penyelidik universiti mungkin menjadi saintis, jurutera, usahawan teknologi atau pembuat dasar yang mencorakkan masa depan negara pada suatu hari nanti.
Namun demikian, membina generasi AI bukan bermaksud kita hanya melahirkan individu yang mahir menggunakan teknologi. AI mampu menghasilkan jawapan dalam beberapa saat, tetapi ia tidak memiliki nilai kemanusiaan seperti empati, integriti, pertimbangan moral dan kebijaksanaan.
Oleh itu, pendidikan masa hadapan perlu mengekalkan keseimbangan antara penguasaan teknologi dengan pembentukan sahsiah.

Murid perlu diajar bukan sahaja bagaimana menggunakan AI, tetapi juga bila ia sesuai digunakan, bagaimana memastikan ketepatan maklumat dan mengapa etika digital menjadi semakin penting dalam era teknologi yang berkembang begitu pantas.
Dalam usaha ini, universiti berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan ilmu, penyelidikan dan masyarakat. Melalui kepakaran yang dimiliki, universiti boleh membawa murid keluar daripada pembelajaran konvensional kepada pengalaman sebenar yang lebih bermakna.
Sebagai contoh, murid yang mengikuti program konservasi penyu, pemuliharaan terumbu karang, teknologi dron, pemantauan biodiversiti atau penyelidikan marin bukan sahaja mempelajari konsep sains, malah memahami bagaimana ilmu boleh digunakan untuk memelihara alam sekitar, memperkukuh ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
Pengalaman seperti ini turut memupuk rasa tanggungjawab terhadap negara dan alam sekitar.
Pada masa sama, penglibatan industri dan agensi kerajaan perlu diperkasakan bagi melengkapkan ekosistem ini. Universiti menyediakan kepakaran, sekolah menyediakan bakat muda, manakala industri memperkenalkan teknologi serta cabaran sebenar yang dihadapi dunia pekerjaan.
Apabila ketiga-tiga pihak bergerak seiring, Malaysia bukan sahaja mampu melahirkan lebih ramai graduan STEM, tetapi juga generasi yang bersedia menghadapi perubahan teknologi dengan yakin dan beretika.
Masa depan sesebuah negara tidak ditentukan oleh sejauh mana canggihnya teknologi yang dimiliki, tetapi oleh keupayaan rakyatnya memanfaatkan teknologi tersebut secara bijaksana. AI hanyalah satu alat dan yang menentukan kejayaan ialah manusia yang menggunakannya.
Oleh itu, usaha memperkukuh kerjasama antara universiti dan sekolah melalui program galakan sains, STEM, robotik, inovasi dan pembelajaran berasaskan pengalaman perlu terus diperkasakan sebagai agenda nasional.
Jika kita benar-benar mahu melihat Malaysia muncul sebagai negara berpendapatan tinggi yang berdaya saing dalam ekonomi digital, pelaburan terbaik yang boleh dilakukan pada hari ini bukan sekadar membeli teknologi paling moden, tetapi membina generasi muda yang berani berfikir, gemar meneroka, mahir menyelesaikan masalah dan mempunyai nilai yang tinggi.
Mereka inilah yang kelak bukan sekadar menjadi pengguna AI, tetapi pencipta inovasi, pemimpin berwawasan dan pemacu kemajuan negara. Masa depan Malaysia sedang dibentuk di bilik darjah, di makmal universiti dan melalui setiap pengalaman yang menyuntik rasa ingin tahu dalam diri seorang anak muda.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Amirul Salam Hasan
Pegawai Perhubungan Awam
Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu
E-mel: amirulsalam@umt.edu.my