KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) memeterai Memorandum Persefahaman untuk meningkatkan kebolehpasaran serta sokongan pembangunan bakat dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menerusi kerjasama strategik itu, TalentCorp memperuntukkan sejumlah RM2 juta kepada ahli SAMENTA bawah program Geran Padanan Latihan Industri Berstruktur PKS (LIKES).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, inisiatif LiKES membolehkan PKS menyediakan latihan industri
berkualiti yang memberi pengalaman sebenar dan membekalkan graduan dengan kemahiran dan keyakinan untuk pasaran kerja.
''Sokongan kepada majikan dan pelatih, akan membina tenaga kerja yang lebih sepadan dengan keperluan industri dan bersedia menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya menerusi satu kenyataan bersama.
Sementara itu, Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, peruntukan tersebut merupakan pemangkin penting dan menjadikan tawaran latihan industri PKS lebih menarik kepada golongan muda.
Pada masa sama, membina kapasiti dan memastikan PKS kekal berdaya saing.
"Kerjasama selama dua tahun ini akan memanfaatkan rangkaian luas SAMENTA dengan sasaran minimum 1,500 peluang latihan industri di PKS dalam tempoh tersebut," ujarnya.
Bagi maklumat lanjut mengenai program LiKES, PKS digalakkan berhubung dengan SAMENTA melalui e-mel