fb fb fb fb fb

SC, Bursa Malaysia pantau keadaan pasaran semasa

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad memantau rapat perkembangan terkini dalam pasaran susulan pergerakan luar biasa dalam saham tertentu.

SC dan Bursa Malaysia memberi jaminan, asas pasaran saham Malaysia kekal kukuh dan tidak perlu wujud sebarang kebimbangan.

Penurunan ketara dalam harga saham terhad kepada beberapa saham bermodal kecil dan tidak meluas.

Saham yang terjejas merangkumi sekitar 0.17 peratus daripada jumlah permodalan pasaran dan 8.30 peratus jumlah nilai dagangan tahun ini.

Pelabur dinasihatkan membuat keputusan pelaburan termaklum, berdasarkan asas dan merujuk pendedahan dan pengumuman syarikat tersenarai di laman web Bursa Malaysia.

Pelabur juga perlu mengambil perhatian terhadap jawapan kepada pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa diterbitkan Bursa Malaysia.

SC dan Bursa Malaysia turut menjalankan pengawasan proaktif terhadap urus niaga dan pendedahan korporat, serta pemantauan masa nyata bagi semua aktiviti dagangan untuk memastikan pasaran cekap, adil dan teratur.

Sekiranya penyelewengan dikesan, tindakan kawal selia akan diambil untuk melindungi integriti pasaran.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE