KUALA LUMPUR, 27 April- Kalangan pakar berpandangan pasaran getah tempatan dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan lebih rendah minggu depan berikutan bekalan mencukupi dan cuaca baik pada masa ini.
Pakar industri berkenaan Denis Low berkata situasi bekalan dan permintaan getah dilihat kembali seperti biasa manakala kebimbangan sebelum ini mengenai cuaca semakin stabil.
“Kami kini mendapati adanya lebih banyak bekalan dan setara dengan kekurangan sebelum ini.
“Isu geopolitik global yang berterusan telah menjadi gangguan dan bukan lagi sebagai kebimbangan utama. Oleh itu, kami yakin harga perlu menemukan keseimbangan sewajarnya pada masa depan,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, seorang peniaga berkata harga getah akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau, kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di samping penanda aras harga minyak mentah, dalam keadaan kekurangan getah asli dan jangkaan kadar faedah yang lebih tinggi.
"Pengendali pasaran akan terus memantau data ekonomi global, terutama isyarat yang boleh mempengaruhi dasar monetari selain ketegangan geopolitik di Timur Tengah atau isyarat selanjutnya," katanya.
Pasaran getah tempatan meneruskan trend menurun minggu ini berikutan pasaran terkesan dengan trend menyusut pasaran niaga hadapan getah serantau akibat kebimbangan mengenai permintaan getah asli dan kadar faedah AS yang lebih tinggi dalam tempoh lebih panjang.
Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 merosot 20.5 sen atau 2.7 peratus kepada 751.5 sen sekilogram daripada 772 sen minggu lepas, manakala susu getah pukal susut 40 sen kepada 697.5 sen sekilogram daripada 737.5 sen sebelumnya.
Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk getah fizikal GMM 20 berada pada 756 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 696 sen sekilogram.- BERNAMA