fb fb fb fb fb

MOF adakan perbincangan dengan pihak industri mengenai skop, syarat subsidi diesel bersasar

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican mengadakan perbincangan bersama industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel pada Jumaat.

KUALA LUMPUR, 20 April- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah mengadakan perbincangan bersama industri logistik mengenai pelaksanaan program subsidi bersasar bagi diesel pada Jumaat.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF)perbincangan itu bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan mendengar isu yang dihadapi pemain indusri.

“Perbincangan ini adalah bagi mendapatkan pandangan persatuan dan syarikat logistik mengenai skop dan syarat bagi cadangan program ini, terutamanya bagi mendengar isu yang dihadapi serta langkah-langkah penambahbaikan,” menurut MOF dalam catatan di laman sosial rasmi Kementerian Kewangan pada Sabtu.

MOF menjelaskan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan yang berterusan.

"Walaubagaimanpun, bagi mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan," kata MOF.

Kementerian itu memaklumkan bahawa mekanisme rasionalisasi subsidi diesel akan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Menurut MOF, dengan pelaksanaannya, kerajaan akan dapat menyalurkan hasil negara kepada rakyat melalui Sumbangan Tunai Rahmah, Sumbangan Asas Rahmah dan lain-lain bantuan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI