
KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh tahap kesiapsiagaan logistik dan keanggotaan dalam mendepani ancaman insiden bangunan runtuh berikutan beberapa siri insiden gempa bumi yang melanda Indonesia baru-baru ini.
- Anggota bomba dilatih modul asas kebombaan untuk penyelamatan struktur runtuh.
- Enam anjing pengesan K9 ditambah untuk operasi Mencari dan Menyelamat Perbandaran.
- Perolehan enam unit jentera USAR lengkap peralatan lasak dan berat menyokong operasi menyelamat.
- 481 anggota STORM ditempatkan di balai seluruh negara dan boleh digerakkan seawal dua jam.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, setiap anggota bomba dilatih menerusi modul asas kebombaan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelamatan, khususnya membabitkan struktur bangunan runtuh akibat bencana itu.
Menurut beliau, JBPM turut memperkukuh keupayaan operasi menerusi penambahan aset dan pasukan khusus dengan memperoleh enam ekor anjing pengesan (K9) tambahan khusus bagi operasi Mencari dan Menyelamat Perbandaran (USAR) untuk mengesan mangsa di bawah runtuhan.
“JBPM juga telah membuat perolehan enam unit jentera khusus USAR yang dilengkapi peralatan lasak dan berat bagi menyokong operasi menyelamat.
“JBPM turut mempunyai 481 anggota khas di bawah Pasukan Khas Operasi Taktikal Khusus Malaysia (STORM) yang berkemahiran tinggi dalam operasi menyelamat bangunan runtuh,”katanya ketika dihubungi RTM.
Datuk Seri Nor Hisham turut memaklumkan anggota STORM ditempatkan di balai-balai bomba seluruh negara dan boleh dihimpunkan ke mana-mana lokasi insiden besar dengan sasaran pergerakan seawal dua jam selepas diaktifkan.
“Negara turut mempunyai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), yang diiktiraf Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).
“Pegawai bomba yang menjadi sebahagian daripada pasukan terakreditasi INSARAG sentiasa bersiap sedia untuk menangani insiden runtuhan yang kompleks,”katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan satu lagi gempa bumi sederhana bermagnitud 5.4 melanda rantau Flores, Indonesia pada 11.48 pagi tadi. Ini merupakan kejadian gempa bumi ketiga yang direkodkan di rantau tersebut hari ini.