fb fb fb fb fb

Malaysia dijangka terima 2 juta pelancong asing selepas sempadan dibuka

SUBANG JAYA, 21 Mac- Malaysia dijangka menerima 2 juta pelancong asing tahun ini apabila sempadan negara dibuka mulai 1 April.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Syed Yahya Syed Othman, susulan itu negara dijangka menjana pendapatan mencecah RM8.6 bilion.

Jelas beliau, kemasukan pelancong luar akan memberi impak positif dan merancakkan kembali sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Bila kita buka sahaja sempadan, bererti ia suatu yang positif kerana kita akan membenarkan lebih banyak lagi orang dari luar negara akan masuk ke Malaysia, secara tidak langsung ia boleh menggerakkan aktiviti ekonomi di negara ini.

Sememangnya kita mempunyai sasaran dan bagi tahun ini sahaja, kita menyasarkan 2 juta pelancong asing akan memasuki Malaysia," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Majlis Pelancongan Malaysia (MITA) dan syarikat Apa-di-langit di sini.

(Syed Yahya Syed Othman dan Uzaidi Udanis pada majlis menandatangani MOU antara (MITA) dan syarikat Apa-di-langit)

Sementara itu, Presiden MITA, Uzaidi Udanis menggesa penggiat industri memanfaatkan pembukaan sempadan dengan mempergiat promosi dan lebih kreatif dalam memasarkan produk pelancongan masing-masing.

"Masalah sekarang ialah berkenaan produk pelancongan, kita boleh saksikan banyak produk pelancongan lama dan kita perlu lebih inovatif kerana jika dibanding dengan Thailand, negara itu banyak mengeluarkan produk pelancongan baharu, begitu juga dengan Indonesia, Vietnam dan Kemboja, jadi kita memang perlu menghasilkan lebih banyak produk pelancongan baharu," katanya pada majlis sama.

Media Baharu