fb fb fb fb fb

Tersilap keluarkan kontena Israel, pengendali diberi amaran keras

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengulas sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM yang berada di lebuh raya negara ini pada 16 Mac lalu/Foto FB Kementerian Pengangkutan

SEPANG, 18 Mac - Kementerian Pengangkutan memberi amaran keras kepada pengendali pelabuhan yang 'tersilap' membenarkan kontena dengan logo syarikat berpangkalan di Israel, keluar dari pelabuhan  dan berada di lebuh raya.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, arahan sama telah dikeluarkan sebelum ini, agar semua kontena jenama ZIM kekal di kawasan pelabuhan dan dikembalikan ke negara asal atau negara lain.

"Kita baru mendapat laporan... pengendali pelabuhan tersilap terkeluarkan satu kontena ini, jadi memang kita akan beri teguran kepada pengendali pelabuhan ini.

"Perkara ini tidak akan berulang. Kita hanya ada empat atau lima sahaja lagi kontena berjenama ini (yang akan dikeluarkan dari negara ini) malangnya ada satu terkeluar dari Pelabuhan

"Pelabuhan telah diberikan satu amaran keras bahawa kita tak nak lihat mana-mana kontena ini keluar dari pelabuhan kita dan apa yang sedia ada itu perlu dikeluarkan (dari negara ini) secepat mungkin," katanya ketika diminta mengulas sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM yang berada di lebuh raya negara pada 16 Mac lalu.

Loke berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian Operasi dan Perjanjian Pajakan Tanah antara kerajaan dan Malaysia Airport pada Isnin.

Pada Disember tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melarang syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

GRACE AISYAH KEDAYAN