KUALA LUMPUR, 11 Februari – Kadar pengangguran yang rendah pada Disember 2024 mencerminkan keteguhan pasaran buruh negara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata kadar tersebut kekal stabil walaupun terdapat sedikit penyederhanaan dalam pertumbuhan pekerjaan dan tenaga buruh.
"Walaupun ketidaktentuan luaran serta pelbagai faktor domestik boleh mempengaruhi sentimen pengambilan pekerja, inisiatif kerajaan terus menyokong ekonomi dan kestabilan pasaran buruh," katanya kepada RTM.
Menurut beliau, beberapa faktor utama membantu mengekalkan permintaan tenaga kerja, termasuk inisiatif kerajaan di bawah rangka kerja MADANI, dasar fiskal mengembang serta peranan Malaysia dalam aktiviti perdagangan di Asia Tenggara.
"Selain itu, peningkatan dalam kategori pekerjaan sendiri dan juga majikan turut memberi sumbangan kepada kestabilan kadar pengangguran," tambah Mohd Sedek.
Dalam laporan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran Malaysia bagi Disember 2024 mencatatkan paras terendah dalam tempoh sembilan tahun, iaitu 3.1 peratus.