fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi lepasi paras 1,600 mata

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan untuk dibuka tinggi melepasi paras psikologi 1,600 mata pada Selasa, didorong pembelian semasa harga murah dalam kebanyakan saham bermodal sederhana dan kecil susulan prestasi kukuh semalaman di Wall Street.

Pada pukul 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.24 mata kepada 1,601.44 daripada 1,598.20 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.38 mata lebih kukuh kepada 1,598.58.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 342 berbanding 201, dengan 326 kaunter tidak berubah, 1,520 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 466.84 juta unit bernilai RM265.55 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata jumlah dagangan harian di bursa tempatan susut kepada di bawah ambang empat bilion unit namun keadaan itu dijangka bertambah baik dalam tempoh terdekat untuk mengekalkan aliran meningkat baru-baru ini.

“Kami menjangkakan indeks berada dalam aliran berjulat 1,600 hingga 1,610 hari ini susulan penilaian yang kekal munasabah terhadap kalangan saham mewah.

“Sementara itu, harga minyak mentah tinggi kebanyakannya dengan minyak mentah Brent ditutup pada US$87 setong berikutan peningkatan ketegangan geopolitik dan permintaan yang bertambah baik,” katanya kepada Bernama.

Malacca Securities pula menjelaskan pelabur akan memantau kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) Jerome Powell lewat hari ini, minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed pada Rabu serta data senarai gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.

“Buat masa ini, Fed mengunjurkan satu penurunan kadar faedah pada 2024,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Saham wajaran tinggi Bursa, Maybank naik tiga sen kepada RM10, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.04 dan CIMB menokok lima sen kepada RM6.88.

Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.96 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.30.

Antara kaunter paling aktif, UUE Holdings yang baru disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 42 sen kepada 66 sen, Omesti naik tiga sen kepada 17.5 sen manakala SNS Network dan Agmo masing-masing menokok setengah sen kepada 84.5 sen dan 72.5 sen, serta JCY kekal pada 79 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 25.16 mata kepada 12,307.61, Indeks FBMT 100 naik 24.52 mata kepada 11,882.87 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 21.41 mata kepada 12,646.40.

Indeks FBM 70 menambah 38.89 mata kepada 17,972.47 dan Indeks FBM ACE menokok 9.73 mata kepada 5,868.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.71 mata kepada 17,534.22 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.60 mata kepada 197.39.

Indeks Tenaga naik 3.89 mata kepada 974.54 dan Indeks Perladangan meningkat 19.46 mata kepada 7,030.82. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA